*MENANGGALKAN IKTIKAD SYIRIK*
“Didalam manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ), kesempurnaan akidah dicapai apabila seorang itu mencapai IHSAN, (yakni) hatinya seolah memandang kepada Allah (musyahadah). Ia memandang Allah dengan nur yang terbit dari lubuk qalbi apabila selaput awan nafsu ammarah dibersihkan.”
ILMU SIFAT 20 MENANGGALKAN IKTIKAD SYIRIK
Dalam Ilmu Tauhid, Sifat IFTIQAR (ﺇﻓﺘﻘﺎﺭ) ialah segala sifat yang baharu berhajat padaNya. Sifat Iftiqar dibahagikan kepada 9 sifat iaitu Wahdaniah (ﻭﺣﺪﺍﻧﻴﺔ), Qudrat (ﻗﺪﺭﺓ), Iradat (ﺇﺭﺍﺩﺓ), Ilmu (ﻋﻠﻢ), Hayat (ﺣﻴﺎﺓ), Kaunuhu Qaadiran (ﻛﻮﻧﻪ ﻗﺎﺩﺭﺍ), Kaunuhu Muriidan (ﻛﻮﻧﻪ ﻣﺮﻳﺪﺍ), Kaunuhu ‘Aliman (ﻛﻮﻧﻪ ﻋﺎﻟﻤﺎ) dan Kaunuhu Hayyan (ﻛﻮﻧﻪ ﺣﻴﺎ). Semua sifat tersebut yang menggerakkan segala yang baharu dan ianya juga saling lazim melazimi, yakni tiada bercerai.
Sifat QudratNya yang menggerakkan sekelian alam. Sifat QudratNya datang dari sifat Iradat, sifat Iradat datang dari sifat Ilmu, sifat Ilmu datang dari sifat al-Hayat. Justeru hakikatnya seluruh pergerakan alam adalah dari Qudrat Yang Maha Esa (Wahdaniah). Tanpa sifat Wahdaniah, alam ini tiada dapat berfungsi dengan sempurna apabila berlaku dua qudrat dalam menguasai pentadbiran alam.
Apabila seorang itu SYUHUD (memandang dengan mata hati) segala sifat alam dan sifat dirinya iaitu melihat, mendengar, berkata-kata, kuasa, kehendak, ilmu dan hayat dalam qudrat Allah yang satu, maka akan hancurlah QADARIAH (ananiah - keakuan) dirinya dan kekuasaan alam. Allah SWT menyatakan :
"Wahai manusia, sesungguhnya kamu semua fuqara' (faqir dan memerlukan) kepada Allah dan sesunggguhnya Allah itu Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu) lagi Maha Terpuji" (Fathir: 15)
Tanpa sifat Iftiqar, diri dan alam langsung tiada dapat berfungsi walau sebiji atom atau debu atau nafas kita yang turun dan naik. Maka di atas kurnia Allah ini, tiada adab bagi seorang hamba itu tiada mengingati bahawa dirinya dalam kekuasaan Allah dalam segala gerak dan diamnya pada setiap detik.
Apabila lupa pada Allah, maka akan timbul ananiah dirinya dan kesannya dia akan menjadi manusia yang sombong dan angkuh akibat tiada mengenal diri. Ia akan menjadi iblis dan binatang, hidup semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu tanpa mengenal batas diri yang amat daif, lemah, faqir dan hina.
Sifat ISTIGHNA (ﺇﺳﺘﻐﻨﺎﺀ) atau Sifat Kaya terbahagi 11 sifat iaitu Wujud (ﻭﺟﻮﺩ), Qidam (ﻗﺪﻡ), Baqa’(ﺑﻘﺎﺀ), Mukhalafatuhu lilhawadith (ﻣﺨﺎﻟﻔﺘﻪ ﻟﻠﺤﻮﺍﺩﺙ), Qiamuhu binafsih (ﻗﻴﺎﻣﻪ ﺑﻨﻔﺴﻪ), Sama' (ﺳﻤﻊ), Basar (ﺑﺼﺮ), Kalam (ﻛﻼ ﻡ), Kaunuhu Sami’an (ﻛﻮﻧﻪ ﺳﻤﻴﻌﺎ), Kaunuhu Basiiran (ﻛﻮﻧﻪ ﺑﺼﻴﺭﺍ) dan Kaunuhu Mutakalliman (ﻛﻮﻧﻪ ﻣﺘﻜﻠﻤﺎ). Ia dipanggil sifat Kaya kerana terkaya segala sifatnya yang Kamalat (sempurna), tiada bagi diriNya segala sifat kelemahan. Maka Wujud Allah dan sifatNya amat lemah bagi akal untuk sampai memikirkannya.
Sifat Kaya ini menghancurkan segala pemikiran MUKTAZILAH (bertuhan pada akal) yang boleh menuju kepada faham MUJASSIMAH (menyamakan Allah dengan makhluk)!
Apabila Dzat Allah memiliki segala sifat keAgungan, maka hamba merasa tenang dan selamat dalam perlindunganNya. Tiada bagi dirinya kebimbangan dan kerunsingan kerana Allah memiliki segala sifat Kamalatnya bagi segala Sifat dan AsmaNya.
Sifat Iftiqar dan Istighna yang dibahagikan oleh ulama dalam pengajian SIFAT 20 memimpin seorang yang mendalaminya selamat dari iktiqad Muktazilah dan Qadariah. Namun untuk mencapai kesempurnaannya wajib berjalan dalam iktikad kaum sufi iaitu dzauk dan syuhud yang membawa seorang itu benar-benar mengenal dirinya sehingga fana ia dalam kefakiran pada Allah Yang Maha Agung dan Sempurna.
Iktiqad Qadariah dan Muktazilah adalah punca lahirnya Mujasimmah, Sekularisme, Liberalisme, Wahabiah, Modenisme, Pluralisme dan lainnya. Justeru untuk menghancurkan pegangan batil pada anutan kebanyakan masyarakat hari ini, maka pendidikan ASWJ yang merangkaikan Tauhid, Fekah dan Tasawwuf sebagai asas agama perlu dibangunkan kembali.
Kita menghormati para sahabat yang begitu gigih menyerang kebatilan, tetapi dalam masa yang sama kita sangat perlu memberi tumpuan mentarbiyah diri, keluarga dan masyarakat dengan pengamalan ASWJ yang benar. Insyallah, apabila kita menaikkan yang haq, nescaya kebatilan akan lenyap.
Firman Allah SWT :
“Jika datang kebenaran akan terhapuslah segala kebatilan”. (al-Isra': 81)
Mari kita mulakan dengan diri kita, keluarga kita dan mereka yang hampir dengan kita untuk diberi faham dan menghayati hakikat ASWJ. Memulakan dengan pelajaran tauhid Sifat 20, kemudian membersihkan diri dengan melaksanakan hukum Allah (bersyariat) dan memperbanyakkan ibadah untuk menghancurkan ananiah diri dan muktazilah. Hasilnya akan memiliki cahaya hati yang terpancar dari lubuk qalbi untuk mencapai Ihsan.
Dengan 3 gabungan ini, maka sempurnalah seorang itu dipanggil hamba Allah yang siddiq.
In Shaa Allah.
Ma Shaa Allah.
No comments:
Post a Comment