Bahagian Dakwah, JAKIM
TULISAN KHAT BERBENTUK MANUSIA
Keputusan:
1. Khat yang berkaitan dengan dua kalimah syahadah, ayat Al-Quran, Al-Hadis, kalimah zikir dan sebagainya, dengan membentuk huruf-huruf dan tulisan tersebut menjadi seperti bentuk manusia dan haiwan adalah dilarang.
2. Penulisan ayat Al-Quran dan Hadis dalam bentuk khat yang sukar untuk dibaca dan boleh berlaku kesalahan dalam pembacaan adalah dilarang, kecuali dijelaskan dibawahnya dengan tulisan yang terang lagi boleh dibaca.
HUKUM MENULIS AYAT-AYAT AL-QURAN MENGIKUT REKA BENTUK ALAT PERMAINAN SEPERTI WAW, TUMBUHAN, BUNGA-BUNGAAN DAN SEUMPAMANYA
Keputusan:
Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 05/2014-1435H yang bersidang pada 26 Jun 2014 bersamaan 28 Sya’ban 1435H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-69 berkenaan Hukum Menulis Ayat-Ayat Al-Quran Mengikut Reka Bentuk Alat Permainan Seperti Wau, Tumbuhan, Bunga-Bungaan Dan Seumpamanya dengan sighah seperti berikut :
Mesyuarat telah memutuskan bahawa:
Penulisan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk hiasan yang keterlaluan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kesukaran kepada pembaca adalah dilarang;
Penulisan khat ayat al-Quran boleh dibuat dengan syarat ditulis dengan betul dan dapat dibaca;
Tulisan khat ayat al-Quran tidak boleh dicampuradukkan dengan ayat-ayat lain sehingga boleh mengelirukan pembaca;
Tulisan khat ayat-ayat al-Quran mestilah ditulis dengan sempurna dan susunan ayat-ayatnya tidak boleh terputus-putus sehingga mencacat atau mengelirukan atau mengubah maknanya; dan
Tulisan seni khat ayat-ayat al-Quran yang dibuat dalam pelbagai bentuk sehingga menimbulkan kekeliruan dan menghilangkan tujuan ayat-ayat al-Quran diturunkan iaitu untuk dibaca, difahami dan dihayati adalah dilarang.
No comments:
Post a Comment