*HAKIKAT RAYA MENURUT TASAWUF*
Salam Aidil Fitri 1437H..
Di Penghujung “Rasa”... Hari Raya!
Bismillah : Faedah dan untungnya kita mempelajari ilmu Makrifat itu, adalah bertujuan untuk mencari rasa! Di penghujung ilmu Makrifat itu, adanya rasa.. Di penghujung rasa itulah, adanya Allah..
Perkara rasa dalam ilmu mengenal Allah itu, adalah bagi membawa kita bersama Allah di dalam sebarang keadaan.. Sama ada dalam keadaan gembira, suka, tenang, senang, aman dan berbahagia.. Berbahagia itulah yang dikatakan rasa.. Rasa berbahagia dalam setiap keadaan..
Rasa berbahagia itulah, maksud atau konsep mengenal Allah yang sebenar. Inilah faedah dan untungnya bagi mereka-mereka yang berilmu dengan ilmu mengenal Allah Taala.
Orang-orang yang berada di dalam ilmu megenal Allah itu, adalah orang-orang yang hatinya sentiasa diselubungi bahagia atau berkeadaan sentiasa berbahagia (berhari raya).. Berhari raya dalam erti kata ilmu Makrifat, adalah berbahagia (As-Sa’dah), itulah maksud hari raya yang sebenar-benar..
Maksud berhari raya itu, adalah hari yang terlepasnya diri kita dari ikatan sifat-sifat keakuan! Selepas terlepas dari sifat-sifat keakuan itu, barulah kita didatangi dengan perkara dan keadaan “rasa”.
Mengenal Allah sehingga sampai kepada tahap rasa itu, adalah bila mana kita tidak lagi terlihat sifat-sifat keakuan.. Setelah tidak lagi terlihat sifat-sifat keakuan, barulah Makrifat itu didatangi “rasa”.. Rasa apa? Iaitu rasa lazat dan rasa berbahagia..
Rasa lazat dan berbahagia bila mana sentiasa dapat bersama Allah, dengan Allah dan kerana Allah pada setiap masa (tanpa had atau sempadan waktu)!
Berbahagia itu, ertinya sesuai di kaitkan dengan tabiat.. Tabiat kita tidur dengan cara berbaring.. Berbahagia ayam atau burung itu, tidur dengan cara berdiri, dan kelawar berbahagia dengan cara tidur tergantung kepala ke bawah.. Berbahagia sifat mata apabila dapat melihat gambar yang bagus-bagus dan cantik..
Berbahagia sifat telinga apabila dapat mendengar suara atau lagu-lagu yang merdu.. Berbahagianya sifat lidah itu, apabila dapat merasa makanan yang enak-enak.. Begitu juga berbahagianya sifat hati nurani (qalbu) setiap dari kita itu, apabila dapat melihat Allah s.w.t. di dalam berkeadaan “rasa”.
Rasa yang sebagaimana? Rasa bahawa yang melihat itu bukan lagi kita, yang mendengar itu bukan lagi kita, yang berjalan itu bukan lagi kita, yang bernafas itu bukan lagi kita! Kita dan diri kita itu, sebenarnya sudah lebur, binasa, hangus, terbakar, tenggelam, karam, dan sudah mati dalam erti kata mati sebelum mati!
Saya ingin bertanya kepada para pembaca yang budiman sekalian;
Bila mana diri dan jasad kita sudah bersifat mati, apa lagi yang boleh kita buat, cuba jawab? Bila mana kita mati, siapakah yang melangkahkan kaki kita bila mana kita melangkah? Yang kita boleh buat sesudah kita mati, adalah hanya berserah diri kepada Allah!
Setelah berserah diri kepada Allah, maka yang bergerak itu Allah, yang hidup itu Allah, yang nyata itu Allah, yang mendengar itu Allah, yang melihat itu Allah, yang berkata-kata itu Allah, yang berilmu itu Allah, dan yang hanya bersifat ada itu, adalah hanya Allah, Allah, Allah...
Berbahagiakah bila mana tuan-tuan bersama Allah, sila jawab? Di kala itu, di saat itu, dan di ketika itu, Allah sudah meliputi, membungkus, menaungi, memayungi dan menyelimuti kita, sehingga diri dan tubuh badan kita dengan sendirinya terbungkus dengan wajah Allah..
Di situlah akan datangnya rasa lazat, biar pun di hadapan kita ada harimau yang sudah ternganga, sekali pun pisau di urat leher, dan biar pun nyawa di hujung senapang, akan kita rasai lazat, sedap, nikmat dan itulah yang dikatakan faedah, kelebihan, untung dan kegunaannya bila mana kita dapat menceburkan diri ke dalam dunia ilmu mengenal Allah (ilmu Makrifatullah).
Rasa lazat, zouk, dan karamnya sifat diri kita dalam wajah Allah bila mana megenal ilmu Makrifat itu, sungguh luar biasa, yang tidak pernah tuan-tuan rasa sebelumnya, sesudahnya dan selamanya.. Tidak lagi dapat digambarkan dengan kata-kata. Kalian akan dapat merasainya bila mana tuan-tuan sampai ke sana! Insyallah..
Rasa dalam kita berilmu Makrifat kepada Allah itu, sungguh hebat.. Itulah gambaran atau maksud sebenar-benar hari raya.
Hari raya mengikut suluhan ilmu makrifat itu, bukan sahaja di ketika Aidil Fitri atau Aidil Adha sahaja! Malahan hari raya yang sebenar itu, adalah bila mana kita berjaya melepaskan diri dari sifat keakuan! Sebenar-benar kita itu, sudah binasa dalam wajah Allah!
Barulah setiap apa yang kita lalui itu dengan Allah, bersama Allah, kerana Allah, dan Allah, Allah, Allah.. Itulah rasa.. Rasa apa? Iaitu rasa Allah!
Kenikmatan dan kebahagiaan yang tidak terbanding dan yang paling besar serta agung, adalah kebahagiaan serta kenikmatan bila mana hati, nurani atau qalbu kita dapat melihat dan memandang Allah s.w.t.
Tidak ada perkataan atau bahasa untuk mengukur perbandingan kebahagiaan rasa melihat dan memandang Allah s.w.t. Suatu kenikmatan yang melebihi kenikmatan yang lain dan suatu kebahagiaan yang mengatasi kebahagiaan yang lain.. Itulah yang merupakan kelebihan dan faedahnya mengenal Allah (Makrifat) pada tahap rasa..
Kenikmatan dan kebahagiaan melihat serta memandang Allah s.w.t. itu mengatasi kenikmatan dan kebahagiaan yang lain.. Seumpama kenikmatan dan kebahagiaan mata.. Nikmat dan bahagianya apabila dapat memandang gambar yang cantik.. Setelah hilang yang cantik, maka kenikmatan dan kebahagiaan mata itu juga akan turut hilang..
Begitu juga dengan kenikmatan dan kebahagiaan telinga, akan turut hilang bila mana merdunya hilang.. Nikmat memandang dunia akan turut terkubur bersama dunia, manakala nikmat memandang Allah s.w.t. itu, akan kekal sampai bila-bila dan untuk selama-lamanya dari dunia hingga akhirat.
Inilah bahagia, sentosa, aman dan nikmatnya bagi mereka-mereka yang berjaya sampai kepada tahap mengenal Allah s.w.t. Inilah untung dan faedahnya kita menuntut ilmu makrifat kerana ilmu ini akan membawa kita kepada tahap mengenal dan melihat Allah s.w.t. secara terus tanpa terhijab oleh sesuatu..
Mengenal dan melihat Allah s.w.t. dengan mata kepala dan sifat zahir batin secara serentak, itulah kemuncak cita-cita, harapan dan idaman mereka yang berilmu makrifat.. InsyaAllah.
Via : Syeikh Al Haq®
Sebaran : Natalia Zaira®
No comments:
Post a Comment