Monday, 18 November 2013

laduni

Thursday, November 7, 2013

BELAJAR ILMU LADUNI DARIPADA NABI KHIDIR A.S. ...

Gambar hiasan...

Dalam al-Quran, terdapat satu kisah pertemuan antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s. untuk mempelajari ilmu laduni. Rasanya elok jika kisah ini dikupas sebagai pendedahan dan panduan dalam memahami perkara-perkara aneh dan luarbiasa ini. Kisah ini diabadikan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Kahfi bermula ayat 60-82. Menurut Imam al-Razi dalam tafsirnya, Nabi Musa a.s. bertanya kepada Allah s.w.t., adakah terdapat manusia yang lebih alim dari baginda. Lalu Allah s.w.t. berfirman bahawa ada seorang hamba yang lebih alim iaitu Khidir. Nabi Musa a.s. lalu memohon kepada Allah s.w.t. untuk bertemu dan belajar daripada Khidir. Para ulama berselisih pendapat tentang siapakah Khidir ini. Ada yang mengatakan beliau adalah wali Allah. Namun majoriti berpendapat bahawa beliau salah seorang nabi.

PERJALANAN MUSA YANG JAUH UNTUK BERTEMU KHIDIR


Kita mulakan kisah ini dengan meneliti firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Kahfi, ayat 60, “Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: ‘Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai di pertemuan dua buah lautan; atau aku akan terus berjalan sampai bertahun-tahun .”

Ayat di atas menceritakan beberapa syarat penting untuk bertemu Khidir. Syarat yang pertama ialah bersungguh-sungguh dan kesabaran yang tinggi. Itulah yang dipamerkan oleh nabi Musa a.s. Baginda berazam tidak akan berhenti berjalan walaupun terpaksa bertahun-tahun semata-mata untuk bertemu Khidir. Syarat kedua, sifat merendah dan tawaduk. Walaupun Musa sudah bergelar rasul dan mempunyai murid dan pengikut yang ramai, baginda tetap merendah diri untuk berguru dengan seorang nabi yang bukan bertaraf rasul. Yang ketiga, masa dan lokasi pertemuan adalah rahsia dan tiada siapa boleh menentukannya kecuali Allah s.w.t. Nabi Musa hanya diperintahkan membawa bekalan dan berjalan terus sehingga sampai pertemuan antara dua laut yang baginda sendiri tidak tahu di mana dan bila.

Ketiga-tiga syarat di atas jelas menunjukkan bahawa untuk bertemu dengan nabi Khidir bukan semudah yang di sangka . Hatta nabi Musa yang bergelar ulul azmi pun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan sukar sebelum diizinkan Allah s.w.t. bertemu dengan nabi Khidir. Oleh itu, sekiranya ada yang mendakwa selalu dikunjungi nabi Khidir, maka perhatikanlah tahap kesungguhan dan keazaman yang ada pada orang itu. Jika ternyata dia seorang yang tiada kesungguhan dan tiada sifat mujahadah dalam melawan hawa nafsu, maka dakwaan tersebut perlu dinilai semula.


TITIK PERTEMUAN MUSA DAN KHIDIR SUATU YANG RAHSIA

Kita sambung kisah seterusnya dengan meneliti firman Allah s.w.t. dalam ayat 61-65, “Maka ketika mereka berdua sampai di pertemuan dua buah laut itu, maka mereka berdua terlupa akan hal ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. Tatkala mereka berjalan melampaui tempat itu, berkata lah Musa kepada muridnya, “Bawalah ke mari makanan tengahari kita; sesungguhnya kita merasa letih kerana perjalanan kita ini.” Muridnya menjawab, “ Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.” Musa berkata, “Itulah (tempat) yang kita cari; lalu keduanya kembali, mengikut jejak mereka semula. Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.”

Ayat di atas mengisahkan dugaan-dugaan di hadapi oleh Musa dalam perjalanannya untuk bertemu Khidir. Yang pertama ialah keletihan yang dialaminya setelah menempuh perjalanan yang amat jauh. Ketika tertidur akibat kepenatan, berlaku satu peristiwa aneh. Ikan yang dibawa mereka sebagai bekalan tiba-tiba hidup melompat berenang ke laut. Peristiwa ini disaksikan oleh muridnya Yushak bin Nun. Malangnya, syaitan telah menjadikan beliau lupa untuk menceritakan hal tersebut kepada nabi Musa.

Lalu mereka meneruskan perjalanan yang jauh sehingga nabi Musa sekali lagi keletihan. Kejadian ini menunjukkan pertemuan dengan nabi Khidir bukan sahaja akan diuji dengan kesusahan dan kepayahan , malah syaitan akan turut datang untuk menggagalkannya. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa sering bertemu dengan nabi Khidir tanpa melalui sebarang ujian dan dugaan, maka kita perlu bertanya adakah yang datang itu benar-benar nabi Khidir atau syaitan yang cuba memesongkan kita? Sama-sama kita fikirkan.

SYARAT UNTUK BELAJAR DARI KHIDIR

Kisah ini diteruskan dengan firman Allah s.w.t. dalam ayat 66-70, “ Musa berkata kepada hamba Allah itu,“Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu dari apa yang telah Allah ajarkan kepada kamu?” Jawab hamba Allah itu, “Sesungguhnya kamu Musa sekali-kali tidak sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat bersabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu.” Musa pun menjawab, “Insya-Allah kamu akan mendapati aku seorang yang sabar dan tidak akan menentang kamu dalam sesuatu urusan pun. Hamba Allah itu berkata, “Jika kamu mengikutku maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apapun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu.”

Dari ayat di atas, terdapat perbezaan antara permintaan Musa yang penuh dengan kesopanan dengan jawapan Khidir yang tegas menyatakan, Musa tidak akan mampu bersabar dengannya. Dialog ini membuka satu rahsia besar yang menjadi syarat utama untuk seseorang dikurniakan ilmu laduni iaitu sifat kesabaran yang tinggi dan sifat redha dengan apa yang terjadi. Sejak awal lagi, Khidir telah mengingatkan Musa akan hal ini. Jika nabi Musa yang dikurniakan ilmu dari kitab Taurat dan mukjizat yang hebatpun tidak mampu bersabar, inikan pula kita manusia biasa yang sangat cetek ilmu. Jika nabi Musa yang dikurniakan kelebihan dapat berdialog secara terus dengan Allah s.w.t. pun dikenakan syarat supaya jangan bertanya, bagaimana pula dengan kita yang sering mempersoalkan ketentuan dan takdir Allah s.w.t. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa mempelajari ilmu laduni tanpa dilengkapi sabar dan redha, maka kita perlu menyiasat adakah yang mengajar itu benar-benar nabi Khidir.

UJIAN PERTAMA : KHIDIR MEROSAKKAN KAPAL

Dilanjutkan kisah ini dengan firman Allah s.w.t. dalam ayat 71-73: “Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala keduanya menaiki bahtera lalu Khidir melubanginya. Musa berkata:“Mengapa kamu melubangi bahtera itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpang nya? Sesungguhnya kamu telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar.” Dia (Khidir) berkata, “Bukankah aku telah berkata, “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku.”Musa berkata, “Janganlah kamu menghukum aku kerana kealpaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku.”

Ayat ini membuktikan kebenaran peringatan awal yang diberikan oleh Khidir kepada Musa. Tindakan aneh Khidir memecahkan dinding bahtera milik nelayan yang ditumpangi secara percuma itu menimbulkan persoalan di hati Musa. Sebab itulah Musa telah diberi peringatan agar berdiam diri dan merahsiakan sahaja apa yang terlintas di hati. Kisah ini sebenarnya memberi pengajaran bahawa seseorang yang dikurniakan ilmu laduni perlu bersabar dan menahan diri dari mempersoalkan apatah lagi bercerita tentang keajaiban dan keanehan ilmu kepada sesiapa. Oleh itu, sekiranya kita mendakwa memperolehi ilmu laduni dan asyik menceritakannya kepada orang, maka kita perlu bertanya adakah benar itu ilmu laduni? Sama-sama kita fikirkan.


UJIAN KEDUA : KHIDIR MEMBUNUH KANAK-KANAK

Kisah tersebut disambung Allah s.w.t. melalui firman-Nya dalam ayat 74-76, “Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidir membunuhnya. Musa berkata: “Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih itu, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar .” Khidir berkata, “Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan sabar bersamaku?” Musa berkata, “Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah engkau memperbolehkan aku menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku.”

Jika tadi Musa diuji oleh Khidir dengan kerosakan pada harta, sekarang Musa diuji pula dengan pembunuhan yang dilakukannya ke atas seorang kanak-kanak. Sebagai seorang nabi yang memahami syariat, Musa dengan lantang bertanya Khidir tentang perkara itu. Lantas Khidir mengingatkan Musa bahawa dia tidak akan mampu bersabar bersamanya. Begitulah ujian demi ujian yang harus dilalui oleh seseorang yang ingin mendapatkan ilmu dan hikmah dari nabi Khidir. Sabar dan redha sebenarnya kunci kepada ilmu laduni. Justeru, seharusnya kita fikirkan adakah tahap kesabaran kita mencapai tahap kesabaran nabi Musa yang tergolong dalam salah seorang rasul yang mempunyai keazaman yang teguh (ulul Azmi)?

UJIAN KETIGA : KHIDIR MEMBAIKI TEMBOK

Allah s.w.t. seterusnya berfirman dalam ayat 77-78, “Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir menegakkan dinding itu. Musa berkata, “Jikalau kamu mau, nescaya kamu mengambil upah untuk itu.” Khidir berkata, “Inilah perpisahan antara aku dengan kamu. Aku akan memberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”

Dalam kejadian terakhir ini, kedua-duanya tiba di sebuah desa dalam keadaan tersangat letih, haus dan lapar. Mereka berdua meminta makanan daripada penduduk desa itu, tetapi penduduk desa enggan menjamu mereka. Dalam keadaan itu, Khidir berusaha membina semula dinding sebuah rumah yang hampir roboh di desa itu. Perbuatannya membuatkan Musa kehairanan lalu bertanya mengapa tidak diambil upah atas kerjanya itu. Peristiwa ini menunjukkan seorang yang ingin berguru atau bersahabat dengan Khidir mestilah mempunyai sifat ikhls yang tinggi. Dia seharusnya tidak menjadikan sikap buruk seseorang sebagai penghalang untuk dia berbakti kepada orang lain.

Apa yang diharapkannya hanyalah keredhaan Allah s.w.t., bukannya habuan dunia. Ada ulama mengatakan, pertanyaan Musa kepada Khidir tentang kejadian pertama (merosakkan bahtera) dan kejadian kedua (membunuh kanak-kanak) masih boleh dimaafkan oleh Khidir kerana Musa buat demikian demi kebaikan umat dan berlandaskan hukum syariat. Namun, apabila Musa mempersoalkan bayaran upah atas kerja yang dilakukan, pertanyaan tersebut mempunyai unsur keduniaan dan kepentingan diri. Pertanyaan itulah yang menjadi titik pemisah antara mereka berdua. Oleh itu bagi seseorang yang benar-benar belajar ilmu laduni dari nabi Khidir, sudah pasti dia dapat memahami dan mengerti akan makna sebenar ikhlas dan ihsan.

RAHSIA KENAPA KHIDIR MEROSAKKAN BAHTERA

Bagi menghuraikan rahsia perbuatan nabi Khidir, Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 78-79. “Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut dan aku sengaja merosakkan bahtera itu, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.”

Perbuatan Khidir merosakkan bahtera nelayan merupakan salah satu cabang ilmu laduni yang berupa kasyaf. Dengan kurniaan tersebut, Khidir dapat melihat apa yang sedang berlaku di pelabuhan yang jauh dari lokasi mereka berada. Khidir melihat setiap bahtera yang sampai di pelabuhan tersebut diperiksa oleh raja. Bahtera-bahtera yang berkeadaan elok akan dirampas, manakala bahtera yang rosak dan berlubang akan dibiarkan. Oleh sebab itu, Khidir sengaja melubangi bahtera itu agar raja tidak akan merampasnya.

Di kalangan ahli sufi, kasyaf ini dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga seseorang mampu melihat apa yang sedang berlaku di satu tempat yang jauh dari tempat ia berada. Saidina Umar r.a. pernah dikurniakan kasyaf ini sehingga beliau dapat melihat tentera Islam yang berada kira-kira 500 km dari Madinah dalam keadaan bahaya. Bagaimanapun, kasyaf sebegini hanya terjadi sekali sekala dan tidak boleh diprogramkan. Oleh kerana itu, pada malam Saidina Umar dibunuh, beliau tidak nampak musuh yang hendak menikamnya walaupun musuh itu berada di belakang beliau.

Sekiranya seseorang dikurniakan kasyaf sebegini, ia perlu disembunyikan dan tidak boleh dihebahkan. Itulah yang ditunjukkan oleh nabi Khidir a.s. Baginda tidak menceritakan apa yang dilihatnya kepada Musa sehingga menyebabkan Musa tidak dapat bersabar atas tindakkannya itu. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mendakwa dikurniakan kasyaf dan ia dihebah-hebahkan kepada orang lain, itu menandakan kasyaf tersebut bukan ilmu laduni, tetapi adalah kasyaf dari jin dan syaitan.

RAHSIA KENAPA KHIDIR MEMBUNUH BUDAK

Allah s.w.t. mengungkapkan rahsia seterusnya dalam ayat 80-81, “Dan adapun anak itu maka kedua orang tuanya adalah orang-orang mukmin dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. Dan Kami menghendaki supaya Tuhan mereka mengganti bagi mereka dengan anak yang lebih baik kesuciannya dari anaknya itu dan lebih dalam dari kasih sayangnya (kepada ibu dan bapaknya)”

Dalam kejadian ini, nabi Khidir dikurniakan kasyaf sehingga dapat melihat apa yang akan berlaku di masa lepas dan masa hadapan. Ini dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga boleh melihat merentasi masa. Menurut Imam al-Khazin dalam kitabnya Lubab al-Ta’wil fi Ma’ni Al-Tanzil, budak yang dibunuh nabi Khidir a.s. bernama Haisur. Ibu dan bapanya adalah orang yang soleh. Dengan izin Allah s.w.t. Khidir dapat melihat apa yang telah dilakukan oleh budak ini pada masa lepas dan masa akan datang. Budak ini selalu mencuri dan apabila dewasa, dia akan menjadi kafir dan memaksa kedua-dua orang tuanya kepada kekufuran. Peristiwa ini menunjukkan, Khidir a.s. adalah seorang yang sangat berhati-hati dalam soal iman dan akidah. Baginda tidak akan membiarkan seseorang memaksa seorang yang lain melakukan kekufuran. Oleh itu sekiranya seorang yang mendakwa dirinya dikurniakan ilmu laduni dengan tujuan untuk bermegah dan menunjukkan kehebatan diri, sudah pasti orang itu akan dihukum oleh nabi Khidir lantaran perbuatan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk itu sebahagian dari perbuatan kufur.

RAHSIA KENAPA KHIDIR MEMBINA SEMULA TEMBOK

Berkenaan rahsia tembok, Allah s.w.t. berfirman dalam ayat 82, “Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya seseorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”
Apa yang diungkapkan Khidir menunjukkan, pengetahuan baginda tentang sesuatu yang ghaib adalah kurniaan secara langsung daripada Allah s.w.t. Ini adalah bukti bahawa ilmu laduni tidak boleh dipelajari atau diwarisi. Ia dikurniakan terus dari Allah s.w.t. untuk hamba-hamba-Nya yang mempunyai sifat ikhlas hati dan kesabaran yang tinggi. Sesiapa yang mendakwa dapat mempelajari ilmu laduni dari seseorang, sesungguhnya dakwaan tersebut adalah batil.

Demikianlah pelajaran dan pengajaran yang didapati dari kisah pengembaraan nabi Musa dan nabi Khidir. Walaupun kelihatan seolah-olah Musa gagal memperolehi ilmu laduni, sebenarnya tidak begitu. Hasil ujian yang dilalui Musa ketika bersama Khidir, baginda dikurniakan kasyaf yang istimewa iaitu dibukakan hijab pandangan batin sehingga dapat melihat kekurangan diri sendiri seperti rasa besar diri, gopoh, kurang mujahadah, kurang syukur, kurang keyakinan kepada Allah s.w.t. dan pentingkan diri. Hasilnya, Allah s.w.t. kurniakan ilmu laduni yang lebih istimewa secara terus ke dalam hati baginda iaitu sifat tawadduk, sabar, mujahadah, ikhlas, syukur, tawakal, redha dan muhabbah.

Sifat-sifat tersebut lebih penting kerana ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t. Ia lebih bernilai berbanding mendapat ilmu kasyaf suwari (iaitu kebolehan melihat gambaran sesuatu yang telah atau akan berlaku) yang hanya bersifat duniawi. Inilah yang dianjurkan dalam Islam agar kita dapat mengenal kekurangan diri memperbaikinya agar menjadi hamba Allah yang benar-benar bertakwa.

Berdasarkan kisah ini, para ulama tasawuf mengatakan sekiranya seseorang ingin memperbaiki hati yang rosak dan dipenuhi sifat mazmumah, maka dia perlu mencari seorang guru mursyid yang memahami syariat dan hakikat. Mudah-mudahan guru tersebut dapat membantu kita mengenalpasti kekurangan diri dan membimbing proses pembersihannya (tazkiyah an-Nafs). Apabila hati telah bersih, maka mudahlah cahaya ilmu Allah untuk menyuluh masuk. Apabila cahaya ini sudah menerangi hati, maka ia akan menyuburkan sifat-sifat mahmudah sebagaimana yang dikurniakan kepada nabi Musa a.s. Itulah sebahagian cahaya dari pelbagai cahaya ilmu laduni milik Allah s.w.t yang sebenar.

Oleh Dr. Mahyuddin b. Ismail
Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang.
Majalah Al-Islam 10/2012

No comments:

Post a Comment