Kenapa orang Melayu/Bumiputera mendapat (sedikit) kelebihan berbanding kaum lain di Malaysia?
Orang Melayu juga pendatang? Pendatang dari mana? Dari Indonesia. Kalau ini jawapannya maka kau belum mengaji habis-habisan. Kau belum mengerti apa itu Kepulauan Melayu, apa itu Nusantara. Dan kau juga harus belajar isi dan kesan daripada Perjanjian Britain-Belanda 1824.
Orang Melayu juga bermigrasi ke alam Melayu ribuan tahun dahulu. Maka orang Melayu juga imigran. Ini juga tak betul. Proses migrasi, proses perpindahan penduduk berlaku sejak puluhan ribu tahun. Manusia berpencar. Sekurang-kurangnya bacalah teori 'Out of Africa' atau 'Multiregional hypothesis'. Manusia, sejak ribuan generasi yang lampau, sentiasa bergerak dan mencari petempatan baharu sehinggalah mereka berpusat di sesuatu wilayah geografi.
Kenapa orang Melayu mendapat kelebihan berbanding orang lain di Malaysia?
Kerana yang bermati-matian melawan British yang menjajah tanah ini adalah orang Melayu. Yang mati dihukum gantung melawan JWW Birch, pegawai rasmi penjajah pertama, adalah Melayu. Yang dihukum buang negeri adalah raja Melayu, Sultan Abdullah dan Raja Ismail. Yang dihukum gantung terbalik di publik, adalah Tok Janggut yang Melayu. Yang digantung sampai mati adalah Melayu bernama Rosli Dhobi. Sharif Masahor juga adalah Melayu. Tok Bahaman Melayu, Rahman Limbong Melayu dan Mat Kilau juga Melayu.
Yang diasak keluar dari sistem ekonomi komersil adalah Melayu. Yang dipaksa bayar cukai adalah Melayu. Yang melawan penjajah British dengan senyap-senyap berkempen di Maktab adalah Melayu. Melayu jugalah yang bangkit menentang Malayan Union, dari serata bumi Tanah Melayu. Menggunakan bahasa Melayu bertulisan jawi.
Maka dicelah manakah yang orang Melayu masih tak layak mendapat sedikit keistimewaan berbanding orang lain?Perjuangan, penentangan dan pengorbanan adalah bernama Melayu di tanah ini. Hanya selepas 1946 maka orang bukan Melayu memasuki arena perjuangan yang bernama kemerdekaan dengan jalan rundingan. Jalan damai tanpa air mata dan darah.
Itu sedikit imbasan sejarah menjustifikasikan Melayu. Tapi ada juga teguran disertakan bersamanya. Selepas lebih 60 tahun, selepas tiga generasi merdeka, segelintir orang Melayu juga masih cenderung mengejek orang bukan Melayu dengan gelaran yang mengguris rasa. Keling, paria, Cina babi antara yang masih bermain di bibir hatta anak-anak di sekolah. Dari mana anak-anak ini belajar kalau bukan dari mulut ibu bapanya yang cabul. Percayalah kesan emosi yang terbawa daripada ejekan dan hinaan sebegini amat perit dan menyakitkan.
Asas bagi kehidupan harmoni dalam masyarakat majmuk seperti kita adalah hormat menghormati. Kita perlu faham dan menerima perbezaan. Inilah bentuk negara yang kita ada. Yang moyang kita wariskan dan kita pula bakal menyerahkannya kepada anak cucu kita. Persengketaan tidak pernah menguntungkan sesiapapun. Tetapi kita sama-sama rugi, sama-sama menderita.
Aku yang menulis ini bukan seorang Melayu, dari genetiknya. Tetapi cukuplah aku menjadi seorang manusia yang berperikemanusiaan, seorang Muslim yang ingin adil, dan seorang anak Malaysia yang cintakan warganya.
No comments:
Post a Comment