Monday, 21 September 2020

syabu

 

Apa itu dadah syabu?

Syabu merupakan dadah haram yang berbahaya yang boleh menjejaskan tubuh badan anda dengan pelbagai cara. Sebagai pasangan, ibu bapa, rakan ataupun orang disayangi kepada seseorang yang mengambil syabu boleh menjadi sukar apabila anda mengetahui atau menyedari tentang kesan-kesan penggunaan syabu.

Namun demikian, ianya lebih buruk sekiranya anda mengesyaki seseorang mengambil syabu tanpa pengesahan atau bukti yang kukuh. Anda hanya mungkin mengetahui tentang kesan-kesan sampingan pengambilan syabu berdasarkan apa yang anda tonton di dalam filem ataupun di televisyen.

Namun begitu, anda mungkin tidak pasti sama sekali tentang apa yang anda patut lihat pada kawan ataupun saudara anda. Oleh itu, mengetahui tanda-tanda yang perlu diperhatikan dapat membantu anda untuk cuba berbincang atau menasihati seseorang yang anda sayangi untuk mendapatkan bantuan perubatan yang mana mungkin dapat menyelamatkan nyawa mereka sekaligus.

Apa Itu Syabu?

Syabu atau syabu kristal atau dalam bahasa Inggerisnya, “crystal methamphetamine” merupakan satu jenis dadah perangsang (stimulan) yang juga dikenali dengan nama-nama jalanan seperti ice, glass, crack meth, hiropong dan batu. Syabu juga mempunyai banyak persamaan yang termasuk bahan kimia penghasilannya dengan amfetamina (amphetamine), sejenis dadah yang biasa digunakan untuk mengubati penyakit Gangguan Hiperaktif dan Kurang Tumpuan (ADHD).

Namun begitu, syabu adalah sangat kuat dan boleh membuatkan anda sangat ketagih untuk mengambilnya. Di samping itu juga, pengambilan syabu sudah semakin meningkat membuatkan anda tertanya-tanya bagaimanakah anda dapat mengenal pasti atau mengetahui sekiranya seseorang itu menyalahgunakan syabu.

Sebelum menjawab pertanyaan anda tersebut tentang bagaimana anda boleh mengenalpasti seseorang yang mengambil syabu, ianya juga amat berguna untuk anda memahami atau mengetahui tentang bagaimana syabu disalahgunakan.

Bagaimana Syabu Digunakan?

Dadah jenis ini datang dalam pelbagai bentuk dan ia boleh diambil melalui beberapa cara termasuk menyedut, menyuntik, menelan atau menghisapnya. Menghisap syabu merupakan cara paling biasa digunakan oleh individu-individu yang menyalahgunakannya.

Syabu bertindak balas dengan cepat apabila disuntik ataupun dihisap, dan ia mewujudkan satu rangsangan yang cepat. Rangsangan tersebut hanya bertahan untuk beberapa minit sahaja, namun pengambil syabu menggambarkan rangsangan tersebut sebagai sesuatu yang sangat menyenangkan. Apabila seseorang menyedut atau menelan syabu, dia akan menjadi khayal, namun ia biasanya tidak sekuat seperti apa yang akan dirasakan sekiranya syabu disuntik atau dihisap.

Oleh kerana kesan yang menyenangkan daripada rangsangan syabu akan menghilang dengan cepat, ia membawa kepada ketagihan di kalangan penagih-penagih dadah. Ini bermakna mereka cuba untuk mengekalkan rangsangan yang dirasai dengan mengambil lebih banyak syabu, dalam sesetengah kes, mereka mungkin merasa terlalu puas sehinggakan mereka tidur untuk tempoh selama berhari-hari.

Apabila seseorang itu mengambil syabu, ia meningkatkan jumlah dopamin di dalam otak mereka, dan dopamin ini memainkan peranan penting dalam semua perkara daripada kemampuan tubuh badan kepada dorongan diri dan kegembiraan hati.

Bagaimana Rupa Syabu?

Dalam kebanyakan kes, syabu datang dalam bentuk serbuk putih seperti kristal. Serbuk ini tidak mempunyai bau, mempunyai rasa pahit dan cepat larut di dalam air. Namun begitu, ianya juga boleh didapati dalam warna-warna lain seperti coklat, merah jambu atau kelabu kuning. Syabu kristal atau “crystal meth” pula memang datang dalam bentuk yang jernih seperti kristal yang juga kelihatan seperti ais.

syabu

Imej via SARAWAKVOICE

Tanda-Tanda Seseorang Itu Mengambil Syabu

Individu yang menyalahgunakan syabu biasanya menunjukkan tanda-tanda fizikal yang tertentu. Sekiranya anda tertanya-tanya bagaimana untuk mengenalpasti sekiranya seseorang itu mengambil atau menyalahgunakan syabu, antara gejala-gejala dadah ini adalah menjadi terlalu cerdas atau aktif secara fizikal dan pengurangan dalam selera makan.

1. Tanda-tanda pada tingkah laku

Antara sebahagian tanda-tanda tingkah laku yang terdapat pada pengambil syabu adalah seperti berikut;

  • Menjadi sangat peka atau aktif secara fizikal
  • Hilang selera makan dan penurunan berat badan
  • Kemurungan atau perubahan angin (mood)
  • Sakit jiwa atau berhalusinasi
  • Tekanan darah tinggi
  • Peningkatan suhu badan dan kadar denyutan jantung
  • Sesak nafas
  • Pergeseran (grinding) gigi

2. Tanda-tanda yang boleh dilihat dengan lebih jelas

Sesetengah tanda atau gejala penyalahgunaan syabu dapat dilihat dengan lebih jelas pada diri seseorang. Antara tanda-tanda tersebut adalah seperti berikut;

  • Mencubit kulit dan menarik rambut
  • Anak mata terbeliak
  • Pergerakan mata yang cepat
  • Corak tidur yang pelik termasuk tempoh tidak tidur untuk beberapa hari atau minggu
  • Mengerut, mengerenyet muka, pergerakan tersangkut-sangkut, kelakuan yang melampau
  • Banyak bercakap

3. Kerap menggaru (tweaking) diri

Kekerapan menggaru atau mencubit diri sendiri merupakan satu lagi faktor penting dalam menentukan sama ada seseorang itu menyalahgunakan syabu atau tidak. Gejala menggaru atau mencubit diri sendiri ini muncul pada tahap tertinggi ketagihan syabu apabila seseorang itu tidak lagi dapat merasai rangsangan atau khayal, bergelut untuk mendapatkan perasaan keriangan dan selalunya terbiar dengan keinginan yang sangat tinggi dan perasaan terdesak.

Antara tanda-tanda tambahan untuk gejala menggaru atau mencubit diri sendiri adalah seperti berikut;

  • Terasa seperti ada serangga sedang merayap di bawah kulit
  • Tidak boleh tidur untuk beberapa hari
  • Berada dalam keadaan psikotik atau terputus dari realiti sepenuhnya
  • Sentiasa merasa kecewa, cemas dan tidak stabil
  • Mencederakan diri sendiri
  • Keinginan yang sangat kuat terhadap syabu

4. Penurunan (the crash)

Satu lagi tanda seseorang itu mengambil syabu adalah fasa penurunan. Pada tempoh tubuh penyalahguna syabu tidak lagi mampu mengendalikan syabu yang diambil, dan biasanya ia akan membawa kepada tempoh tidur yang panjang. Fasa penurunan boleh berlarutan di antara satu hingga tiga hari, dan ianya boleh menjadi tanda zahir penyalahgunaan syabu yang boleh dilihat dengan jelas oleh orang-orang sekeliling.

Perubahan Penampilan Fizikal Akibat Penyalahgunaan Syabu

Syabu merupakan sejenis dadah yang mengganggu, berbahaya dan senang untuk diketagihkan. Namun begitu, ia merupakan antara dadah yang paling mudah untuk kita mengetahui sekiranya seseorang menyalahgunakannya.

Sesetengah daripada tanda-tanda yang biasa penyalahgunaan syabu biasanya akan kelihatan kepada penampilan luaran si pengambil. Syabu boleh memberikan kesan dramatik dan selalunya menakutkan kepada penampilan mereka, dan memberikan mereka ciri-ciri khas yang tertentu yang boleh dilihat walaupun oleh orang-orang yang lalu-lalang di sekeliling mereka.

Sekiranya seseorang pernah ketagih syabu dan selepas itu berhenti mengambilnya, terdapat juga tanda-tanda yang boleh dilihat oleh orang sekeliling disebabkan oleh pengunduran (withdrawal). Pengunduran daripada syabu membawa kepada gejala mental yang teruk, terutamanya untuk pengguna untuk tempoh masa yang panjang. Selain itu, pengguna akan menunjukkan tanda-tanda ketagihan yang kuat, pergantungan yang kuat dan juga cemas, letih, tertekan serta psiko.

Kesimpulan

Syabu merupakan sejenis dadah yang amat berbahaya kerana kesannya ke atas tubuh badan anda dan waktu atau dos yang diambil untuk membuatkan anda merasa ketagih terhadap syabu. Penyalahgunaan syabu akan menjejaskan diri anda secara mental dan juga fizikal di mana ianya boleh merubah peribadi atau tingkah laku anda dan juga penampilan diri anda.

No comments:

Post a Comment