Aku Di Tampar Di Warung Kopi
Sewaktu mengeteh di kedai Along, saya lihat ada seorang bapa datang bersama anaknya yang masih kecil, semuanya 5 orang.. Sampai saja di pinggir warung, mata si bapa terkebil-kebil mencari sudut yang tidak panas.. Mungkin dia mahu cari kawasan yang redup untuk anak-anaknya..
Sambil hirup perlahan teh o panas dan menyuap roti canai garing ke dalam mulut, saya perhatikan saja gelagat keluarga ini.. Lalu Datanglah Jonos ke meja mereka.. Si Jonos ni budak muda yang bekerja sebagai pelayan di kedai Along setiap pagi..
"Pagi bang, mai saya ambik order minum dulu. Nak minum apa?".
"Hmm, bagi milo satu dengan air suam empat", balas si bapa tadi.
"Makan apa bang?" soal Jonos.
"Buat roti canai 3, potong halus, banjir ya", pesan si bapa.
"Hmm, bagi milo satu dengan air suam empat", balas si bapa tadi.
"Makan apa bang?" soal Jonos.
"Buat roti canai 3, potong halus, banjir ya", pesan si bapa.
Naluri kebapaan saya ini bagaikan sudah dapat membaca apakah yang bakal berlaku sekejap lagi.. Air teh o saya mulai terasa tawar, roti canai depan mata saya kuis-kuis dengan sudu sambil bermain perasaan.. Allahu..
Sebaik saja minuman dan makanan yang dipesan tadi sampai ke meja mereka.. Si bapa terus mencampurkan secawan milo tadi ke dalam empat cawan air suam anak anaknya..
Si anak mengangkat tangan serentak sambil membaca doa makan.. Kedengaran perlahan, "Bismilla hirrahma nirrahim, Allahumma barik lana fi ma rozaq tana wa qina azabannar. Amin".
"Ha, minum slow-slow air milo tu ya" kata si bapa.. Roti canai banjir tadi juga dibahagikan seorang sedikit.. Maka berkongsilah sesuap dua adik beradik ini.. Roti canai Along memang sedap dan terkenal di sini, terpancar sinar ceria dan suka di wajah mereka semua..
Tidak ada seorang pun anak-anak yang mengeluh.. Tidak ada seorang pun di antara mereka yang nakal.. Semuanya duduk tertib, makan dan minum dengan sopan sekali..
Seolah-olah mereka semua mengerti akan nilai sebuah kesyukuran di pagi ini..
Tidak sampai 20 minit, mereka semua habis makan dan berlalu pergi.. Saya kembali merenung roti canai yang sudah kembang di dalam pinggan.. Kepala terus berfikir, pengajaran apakah yang Tuhanku mahu ajarkan di pagi hari begini?
Sahabat, terkadang kita merasakan hidup kita ini sudah cukup susah apabila diuji dengan sedikit masalah.. Rupa-rupanya di luar sana, masih ada yang lebih susah berbanding kita..
Bukan kesusahan itu yang mahu kita nikmati, tetapi nilai di sebalik setiap situasi itulah yang patut kita syukuri.. Tidak ada yang sia-sia di bumi ini.. Bahkan seketul tahi yang jijik itu pun bisa saja jadi baja buat bunga mewangi..
Sungguh, aku seperti ditampar di warung kopi.
No comments:
Post a Comment