Sunday, 20 November 2016

WALI MAJZUB

WALI MAJZUB
Manusia pilihan kelas tertinggi adalah Nabi-nabi. Tuhan kurniakan kepada mereka kekuatan rohani yang luar biasa. Mereka mampu menempuh alam ghaib dan berhadap kepada Hadrat Ilahi tanpa berlaku kegoncangan kepada akal fikiran, kesedaran dan sifat-sifat kemanusiaan mereka. Mereka diperkenalkan dengan berbagai-bagai suasana ketuhanan (hakikat ketuhanan) dan mengalami berbagai-bagai perkara yang ganjil dalam keadaan jaga, tidak terbalik pandangan, tidak terlepas kehambaan dan tidak hilang kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk lainnya. Mereka tidak terdorong kepada suasana fana dan jazbah, tidak ada bersatu dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan berpisah dengan Tuhan. Nabi-nabi menghadap kepada Tuhan tanpa melupai makhluk. Mereka juga melayani makhluk tanpa lalai daripada Tuhan. Makhluk tidak melindungi Tuhan dan Tuhan tidak menghapuskan makhluk. Kedua-duanya berada dalam kesedaran nabi-nabi.
Manusia yang selain nabi-nabi akan menerima kesan yang kuat daripada pengalaman kerohanian yang dinisbahkan kepada suasana ketuhanan. Keadaan ini lebih kuat lagi berlaku kepada orang yang dibawa kepada tarekat ujian bala. Kegoncangan yang hebat oleh ujian bala menyebabkan hati mereka ‘pecah’. Akibatnya kesedaran kepada alam maujud dan diri sendiri hilang. Tabiat dan sifat kemanusiaan juga tertanggal. Kesan yang muncul daripada ‘pertembungan’ dengan suasana ketuhanan itu dinamakan jazbah dan orang yang mengalami jazbah dinamakan majzub.
Jazbah adalah hal yang dialami oleh hati berhubung dengan aspek ketuhanan yang tidak dapat dicapai oleh akal. Hijab diangkatkan dan mata hati mereka menyaksikan perkara ghaib dan kenyataan tentang Tuhan. Suasana jazbah itu berbeza bagi seorang dengan seorang yang lain. Secara umumnya orang yang mengalami jazbah atau ahli majzub boleh dibahagikan kepada empat jenis.
Majzub jenis pertama adalah orang yang dibawa oleh Tuhan kepada beberapa pengalaman kerohanian yang berkait dengan ketuhanan dan mencapai beberapa makam yang tinggi dalam tempuh yang singkat serta mereka mendapat keasyikan terhadap Allah s.w.t. tanpa berguru dengan sesiapa dalam hidup mereka. Jazbah merombak keperibadian mereka secara menyeluruh. Mereka menjadi orang yang sangat berlainan daripada keadaan mereka sebelum kedatangan jazbah. Mereka tidak suka bergaul dengan orang ramai. Mereka lebih merasakan kedamaian dan kebahagiaan jika mereka bersendirian dalam keasyikan dengan Allah s.w.t. Apa yang berlaku di sekeliling mereka, baik atau buruk, tidak menarik minat mereka. Kegoncangan yang berlaku dalam masyarakat dan keluarga tidak mampu menarik mereka keluar daripada keasyikan mereka. Mereka hanya gilakan Allah s.w.t. Setiap detik mereka teringatkan Allah s.w.t. sahaja. Mereka tidak suka mendengar cerita yang selain Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t. dan yang mengenai Allah s.w.t. sahaja yang dapat menembusi hati mereka. Bila mereka dikuasai oleh jazbah hilanglah kesedaran, fikiran, penglihatan, pendengaran dan pergerakan mereka. Orang majzub tidak sedarkan diri mereka dan alam maujud sekaliannya. Dalam keadaan demikian mereka mengalami berbagai-bagai hal atau pengalaman kerohanian. Mereka berpindah dari satu makam ke satu makam yang lain dengan cepat. Orang majzub seperti ini dikasihi oleh Allah s.w.t. dan Dia melindungi mereka daripada orang jahil yang jahat perangai. Oleh kerana mereka sudah hilang kesedaran dan sifat kemanusiaan, maka hilang juga keupayaan mereka untuk membezakan yang baik daripada yang buruk. Majzub yang seperti ini tidak boleh dijadikan pembimbing orang ramai kerana adab sopan dan peraturan masyarakat tidak ada dalam kesedaran mereka.
Majzub jenis kedua, setelah dilenyapkan akal dan kesedaran seperti jenis pertama, mereka dikembalikan semula kepada kesedaran kemanusiaan sedikit demi sedikit. Mereka diturunkan dari satu makam kepada makam yang lain. Penurunan tersebut mengurangkan kesan jazbah sehingga akhirnya mereka sampai kepada penetapan dan kesedaran sepenuhnya. Ketika menaik kesedaran mereka terhadap yang selain Allah s.w.t. hilang dengan cepat dan dalam keadaan demikian mereka ‘menemui’-Nya. Ketika penurunan kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk lainnya tidak kembali dengan cepat. Mereka mengambil masa yang agak lama sebelum kesan jazbah hilang sepenuhnya daripada kesedaran mereka. Ada sebahagian daripada mereka yang kesan jazbah tidak hilang sampai ke akhir hayat mereka. Bagi majzub kumpulan kedua ini jazbah berperanan sebagai ‘kuasa pemaksa’ yang mengheret mereka keluar daripada alam kelalaian dan memasukkan mereka ke jalan yang memperadabkan mereka dengan Tuhan. Rahmat Tuhan yang menarik mereka kembali kepada jalan yang lurus. Perubahan yang berlaku kepada mereka terjadi dengan pantas. Mungkin dalam masa kurang daripada dua bulan mereka sudah melalui semua stesen kerohanian dan mengalami hal ketuhanan yang mencukupi untuk mereka mengenal Tuhan secara hakiki. Setelah kembali kepada sifat kemanusiaan semula mereka meneruskan kehidupan menurut jalan kenabian, menurut Sunnah Rasulullah s.a.w. dan menjadikan kehidupan nabi-nabi dan wali-wali sebagai iktibar. Proses penurunan majzub jenis kedua ini merupakan pembalikan kepada proses menaik orang salik.
Majzub jenis ketiga tidak hilang akal fikiran dan kesedaran mereka. Perubahan kerohanian berlaku dalam sedar dan jaga. Tidak ada perpisahan dengan sifat kemanusiaan, tidak ada fana dan bersatu dengan Tuhan. Mereka menetap dalam kehambaan, tidak terbalik pandangan, tidak mengalami mabuk dan tidak mengeluarkan ucapan latah yang menyalahi syariat. Orang yang di dalam kesedaran ini didatangkan jazbah kepada mereka sebagai kurniaan Tuhan untuk memperkenalkan mereka kepada Yang Hakiki kerana ilmu dan amal mereka tidak berupaya menyampaikan mereka kepada yang demikian. Kaum sufi umumnya berpendapat majzub yang menetap dalam kesedaran dan kehambaan lebih baik daripada majzub yang mengalami kefanaan dan mabuk. Majzub yang di dalam kesedaran boleh menjauhkan diri mereka daripada perkara-perkara yang mendatangkan fitnah.
Majzub jenis keempat adalah orang yang memasuki jalan suluk terlebih dahulu. Ketika bersuluk itulah akal fikiran dan kesedaran mereka dihapuskan. Majzub jenis ini mengenali alam terlebih dahulu sebelum mengenal Tuhan (mengalami hakikat ketuhanan). Bimbingan guru yang mursyid membuat perjalanan jazbah mereka teratur. Mereka meningkat dari satu makam kepada makam yang lain dengan bersistematik. Mereka melalui stesen-stesen kerohanian dengan bimbingan yang benar. Guru yang telah melalui semua stesen kerohanian, memperolehi makam-makam, mengetahui suasana kefanaan, kebaqaan dan Kebenaran Hakiki sesudah fana dan baqa, diperlukan bagi membimbing salik yang didatangi jazbah. Guru yang demikian dapat menyapu kekeliruan daripada mengelabui pandangan hati muridnya. Murid itu dapat maju ke matlamat terakhir dengan selamat dan teratur. Bimbingan guru membuat salik mengalami dan mengetahui pengalaman mereka. Pengenalan melalui pengalaman yang diterangi oleh pengetahuan mempercepatkan salik menjadi orang arif. Majzub jenis inilah dipersetujui oleh kaum sufi.
Majzub jenis pertama hidup terus menerus sebagai orang majzub, tidak kembali lagi kepada kehidupan manusia biasa. makrifat mereka berdasarkan pengalaman kerohanian mereka. Pengalaman mereka hanya untuk diri mereka sahaja, bukan untuk orang lain. Tanpa tajalli ilmu (terbuka pengetahuan tentang pengalaman yang dilalui) mereka tidak boleh dipanggil orang arif dan mereka tidak dibolehkan menjadi pembimbing orang ramai yang di dalam kesedaran biasa.
Majzub jenis kedua melalui stesen-stesen kerohanian dan mencapai berbagai-bagai makam dalam tempuh yang singkat. Kumpulan ini biasanya memasuki jazbah tanpa persediaan dari segi ilmu dan juga mereka tidak mempunyai guru. Setelah mengalami jazbah mereka kembali kepada kesedaran biasa. Akal fikiran dan sifat kemanusiaan mereka dikembalikan. Mereka mendapati sukar untuk menghuraikan pengalaman kerohanian yang telah mereka lalui. Ketika di dalam zauk pengetahuan tidak penting, tetapi bila kembali sedar akal fikiran memerlukan kefahaman. Dari sini orang majzub yang kembali sedar itu digerakkan untuk menyelidik, mengambil iktibar dan bertanya kepada orang-orang yang arif. Keadaan mereka adalah umpama orang yang bermimpi pada malam hari dan termenung pada siangnya untuk mengingati apa yang dimimpikan dan apa pula maksud mimpi tersebut. Proses memahami dan menyusun perjalanan kerohanian jauh lebih lambat daripada proses pengalaman kerohanian itu sendiri. Pengalaman kerohanian yang dilalui dalam tempuh dua bulan mungkin mengambil masa lebih daripada lima tahun untuk memahaminya dengan jelas dan menyusunnya secara terperinci. Kelambatan proses ini juga disebabkan oleh kesan jazbah yang sukar hilang dari kesedaran seseorang. Kebenaran yang ditemui melalui akal fikiran akan berubah-ubah mengikut kadar kesan jazbah yang sudah hilang daripada mereka. Apabila mereka bebas sepenuhnya daripada kesan jazbah, mereka akan temui Kebenaran Hakiki yang sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Walaupun mereka mengalami hakikat tetapi tanpa kematangan ilmu mengenai pengalaman tersebut, mereka tidak layak dipanggil orang arif. Ilmu mereka benar-benar matang setelah mereka kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.
Majzub jenis ketiga biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai bekalan ilmu yang mencukupi. Kumpulan ini memasuki jalan kerohanian secara berhati-hati dan diselubungi oleh keraguan. Mereka memerlukan masa untuk mengharmonikan pengalaman yang dilalui dengan pengetahuan yang sedia ada. Apa yang diketahui sebelum mendapat jazbah berbeza daripada apa yang diketahui sesudah mendapat jazbah. Kedua-dua pengetahuan yang kelihatan berbeza itu kemudiannya dapat dipastikan bahawa perbezaan berlaku pada sudut pandangan sedangkan kebenarannya tidak berbeza. Pengalaman mengesahkan apa yang sudah diketahui. Bila kedua-dua jenis pengetahuan itu bersepakat keraguan mereka pun hilang. Pengetahuan yang lahir daripada cantuman dua sudut itu meneguhkan keyakinan.
Majzub jenis keempat memasuki bidang suluk terlebih dahulu. Ketika menjalani suluk itulah mereka memperolehi jazbah. Tempoh mendapatkan jazbah berbeza-beza di antara seorang salik dengan salik yang lain. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Tidak kurang juga yang langsung tidak mendapat jazbah. Salik yang tidak mendapat jazbah atau lambat memperolehinya tidak seharusnya berasa kecewa. Jazbah bukanlah matlamat suluk. Kebaikan bagi orang yang menjalani jalan kerohanian adalah menjaga makam mereka. Jangan meminta makam yang lebih tinggi atau lebih rendah. Intisari bagi perjalanan kerohanian adalah kesabaran dalam menjalankan perintah Allah s.w.t. dan kesabaran menanggung takdir-Nya. Salik hanya perlu menjaga takdir yang mereka berada di dalamnya. Sabar mengawal diri dan tidak bertelingkah dengan takdir merupakan kejayaan yang besar bagi salik, sekalipun mereka tidak mendapat jazbah. Teruskan tegak berdiri kerana Allah s.w.t. demi Wajah-Nya semata-mata bukan kerana sebarang keperluan. Salik jenis ini dibawa kepada ikhlas tanpa melalui jazbah. Ikhlas dan benar dengan Allah s.w.t. merupakan matlamat perjalanan kerohanian, baik melalui jazbah atau secara sedar. Salik yang menetap dalam kesedaran beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya dengan ikhlas. Mereka beriman kepada perkataan al-Quran dan Hadis dengan ikhlas tanpa memasuki bidang hakikat. Bagi salik yang mengalami jazbah pula berdampingan dengan guru menjadi syarat penting. Mereka perlu merujukkan kepada guru mereka semua pengalaman kerohanian yang mereka lalui semasa jaga mahupun secara mimpi. Salik jangan mudah membuat tafsiran sendiri mengenai sesuatu perkara.
Setiap orang majzub mempunyai jalannya sendiri yang berbeza dengan majzub yang lain. Masing-masing ditarik kepada jalannya oleh ‘kuasa ghaib’ yang diistilahkan sebagai Tarikan Rahmani (ketuhanan), Pembimbing Hakiki ataupun Perintah Batin. Orang majzub menerima Tarikan Rahmani tanpa mereka boleh menahannya. Tarikan tersebut membawa mereka kepada jalan khusus yang Tuhan sediakan untuk mereka. Tarikan tersebut juga mengarahkan mereka melakukan sesuatu perkara tanpa terikat dengan hukum logik. Tarikan yang langsung dari Tuhan itu juga memandu orang majzub sehingga selamat sampai kepada matlamat. Orang yang di dalam keadaan demikian sering mendapat peringatan dari dalam diri mereka sendiri. Peringatan yang demikian dinamakan Suara Hakiki. Jika timbul cita-cita mereka untuk berhenti tatkala terjadi kasyaf suara dari dalam diri mereka akan memberi peringatan: “Apa yang kamu cari masih jauh di hadapan. Oleh itu jangan berhenti!” Jika terbuka kepada mereka rahsia alam maya, mereka diperingatkan oleh hakikat alam maya: “Sesungguhnya kami adalah ujian, kerana itu janganlah kamu kufur!” Hamba yang dipimpin itu menafikan apa juga yang ditemui di sepanjang jalan. Apa yang mereka saksikan adalah gubahan Tuhan, hikmat kebijaksanaan-Nya dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia. Zat Ilahiat tetap tinggal terhijab, tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun. Akhirnya hamba menemui kenyataan bahawa Dia yang sebenarnya mengenali Diri-Nya. Dia yang mencari, Dia yang dicari dan Dia yang menemui. Tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya.
Orang yang sedang dikuasai oleh Tarikan Rahmani akan kehilangan kekuatan akal fikiran dan kesedaran diri mereka. Pengaruh pancaindera dan alam sekeliling menjadi lemah kepada hati mereka. Rangsangan yang datang dari kehendak diri sendiri menjadi tumpul. Pada peringkat permulaan mengalami hal yang demikian, ketika akal fikiran, kesedaran dan kehendak diri masih mempunyai kekuatan, mereka tidak mengerti apakah yang sedang berlaku kepada diri mereka. Mereka merasakan kelainan tetapi tidak mengerti mengenainya. Walaupun begitu mereka terus juga berjalan menurut cetusan yang muncul dari dalam diri mereka. Setelah beberapa lama mereka mula menyedari kehadiran ‘kuasa ghaib’ yang menguasai mereka, memberi petunjuk dan bimbingan. Kelainan yang mereka alami mereka hubungkan dengan kehadiran kuasa ghaib tersebut. Mereka tidak tahu apakah hakikat kuasa ghaib itu tetapi mereka yakin bahawa ia adalah sesuatu yang suci dan berhubung rapat dengan pekerjaan Tuhan. Mereka yakin hanya dengan mengikuti petunjuk ghaib itu mereka dapat menghampiri Tuhan. Kehadiran kuasa ghaib tersebut dirasakan bertambah kuat dari masa ke masa. Ia membuat mereka berasa tenang dan mereka merasakan jalan menuju Tuhan semakin terang.
Penguasaan petunjuk ghaib ke atas diri mereka membawa mereka kepada peringkat di mana mereka menyaksikan kelakukan dan perbuatan muncul daripada diri mereka tanpa mereka berkehendak melakukannya, tanpa berfikir dan merancang dan juga tanpa menggunakan kekuatan diri sendiri. Segalanya berlaku secara spontan. Mereka tidak ikut campur dalam menghasilkan perbuatan diri mereka sendiri. Mereka hanya menyaksikan ‘kuasa ghaib’ menghasilkan kelakuan dan perbuatan diri mereka. Mereka tidak ada kehendak untuk membantah hal yang demikian, malah hal tersebut membuat mereka memerhatikan sesuatu tentang Tuhan. Apa yang berlaku secara spontan itu membukakan kefahaman mereka tentang Tuhan. Dalam keadaan yang demikian akal mereka menjadi umpama bekas yang dituangkan dengan kefahaman. Banyak perkara mengenai ketuhanan yang mereka tidak fahami sebelumnya ‘difahamkan’ pada peringkat ini. Hal yang demikian membuat hati mereka merasakan kewujudan hubungan di antara Tuhan dengan mereka. Jika kehendak kepada sesuatu yang lain menjadi lemah tetapi kehendak berjumpa dengan Tuhan menjadi kuat. Hati mereka sudah ada rasa kasihkan Tuhan. Mereka juga dapat merasakan kasihan belas Tuhan kepada mereka. Mereka mendapat penghayatan bahawa Tuhan tidak melupakan mereka, Tuhan sentiasa mengambil tahu tentang hal-ehwal mereka. Bertambahlah keseronokan mereka mengintai Tuhan.
Orang yang sedang diheret oleh petunjuk ghaib hilang minat kepada makhluk dan kehidupan dunia seluruhnya. Hati mereka hanya mencintai Allah s.w.t. Mereka menjadi hamba yang gilakan Allah s.w.t. Apa sahaja yang dipandang membalikkan sesuatu tentang Allah s.w.t. Dalam keasyikan mereka mengalami berbagai-bagai hakikat ketuhanan yang menambahkan pengenalan mereka tentang Tuhan. Puncak kecintaan hamba kepada Allah s.w.t. adalah pengalaman Allah Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya. Selepas pengalaman tersebut mereka memasuki suasana baqa dengan Allah s.w.t. Suasana kebaqaan membuat mereka merasakan yang mereka tidak berpisah dengan Allah s.w.t. yang mereka cintai, walau di mana mereka berada dan apa juga yang mereka lakukan. Bila suasana demikian sudah menguasai hati mereka barulah mereka boleh menerima kehadiran makhluk kerana pada tahap ini kehadiran makhluk tidak lagi memisahkan mereka dengan Tuhan.
Perjalanan seterusnya membawa mereka kepada kesedaran mengenai tujuan mereka diciptakan. Kesedaran, akal fikiran dan sifat kemanusiaan mereka sudah dikembalikan. Mereka mula bergerak jauh daripada Tuhan tetapi dalam keadaan tidak berpisah. Apabila kesedaran, fikiran dan sifat kemanusiaan mereka kembali sepenuhnya, mereka dapat melihat perbezaan di antara Tuhan dengan hamba. Mereka berpindah daripada suasana baqa kepada suasana kehambaan sepenuhnya. Mereka kembali kepada kewujudan diri sendiri dan menghabiskan sisa-sisa hidup mereka sebagai ahli syariat yang taat. Lengkaplah perjalanan kerohanian mereka. Pengalaman jazbah menjadi ingatan yang paling berharga bagi mereka kerana melalui pengalaman tersebut mereka berubah menjadi manusia baru, mempunyai kehendak dan citarasa yang baru. Jazbah telah menghancurkan ‘patung-patung’ berhala di dalam diri mereka yang mereka tidak berupaya menghancurkannya dengan kekuatan diri sendiri. Amiin²
Admin Ana Al-Haq

No comments:

Post a Comment