Saturday, 5 November 2016

GENAL DIRI

MENGENAL DIRI MELALUI TIDUR
Puncak dari segala jalan mengenal itu adalah penyerahan diri kepada Allah. Puncak dari penyerahan itu adalah ikhlas, dan puncak dari keikhlasan itu adalah mati, fana’ baqa’, lena atau tidur. Maksud tidur di sini adalah tidak lagi memikirkan keberadaan diri (tidak lagi memikirkan diri itu ada). Tidur di sini merujuk kepada makna berserah, iaitu berserah segalanya kepada Allah, seumpama berserahnya diri kita di kala kita sedang tidur.
Semasa tidur, kita tidak lagi memikirkan harta, lapar, anak‐isteri, syurga, neraka, pahala, untung, rugi, sakit, sihat, apakah hidup atau mati, bahkan nama diri kita sahaja sudah tidak kita hiraukan. Tidurlah yang mengajarkan kita apakah sebenar‐benarnya pengertian penyerahan diri, mengenal diri, tawakal dan keadaan keikhlasan yang sebenarnya.
Tidur orang makrifat itu, bukanlah bererti lena dengan tidak sedar diri, walaupun dalam keadaan terjaga dengan mata masih berkelip, tangan sedang melambai, dan kaki sedang melangkah, sebenarnya mereka itu sedang dalam keadaan berserah diri kepada Allah.
Ungkapan yang terzahir dari bibir seorang guru mursyid “aku tidak tahu, aku tidak tahu dan aku tidak tahu" itu bagi menggambarkan mereka sedang dalam keadaan berserah diri secara hakiki kepada Allah, sehingga tak sedar yang mereka itu sedang berkata-kata (berbicara). Mereka merasakan seolah-olah mereka itu sedang tidur.
Tidur merupakan kiasan yang mengandungi pengertian kebatinan yang mendalam dan berkesan untuk dijadikan iktibar. Bagi yang tidak mengerti, perkara tidur itu dianggap sekadar proses alamiah biasa. Orang‐orang terdahulu memakai proses tidur itu sebagai latihan untuk mengarah kepada mengenal diri. Inilah yang dikatakan jalan kebatinan bagi tujuan mengenal diri.
Di saat kita tidur, diri zahir dan diri batin (roh) kita dipegang, digenggam dan berada dalam dakapan Allah Taala. Dengan kata lain boleh dikatakan bahawasanya itulah erti penyerahan diri yang sebenarnya. Bila mana kita berada dalam dakapan Allah (itulah penyerahan), penyerahan kita itu sehingga membawa kita untuk tidak lagi ingat kepada selain dari Allah.
Apabila tidak ingat lagi kepada yang lain, itulah ertinya kita hanya ingat kepada Allah. Apabila duduk dalam keadaan ingat kepada Allah, di kala itu juga akal fikiran kita langsung tidak berikhtiar atau berusaha, malahan ikhtiar dan usaha kita itu telah kita serahkan kepada Allah sepenuhnya secara mutlak.
Seandainya kaedah atau konsep tidur itu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari (dalam keadaan terjaga), itulah sebenarnya cara dan kaedah berserah diri secara ikhlas dan kaedah mengenal diri yang hakiki. Sayangnya tidak banyak di antara kita yang memahaminya. Sepantasnya kaedah itu kita gunakan sebagai bahan pengajaran untuk kita sandarkan diri kita ini kepada Allah.
Di saat mahu berangkat tidur, jarang sekali kita menggunakannya untuk memanfaatkannya, bagi tujuan menghadapkan diri kita kepada wajah Allah Taala, apalagi di waktu terjaga.
Dalam usaha untuk menyiapkan diri bagi menghadap Allah, jadikanlah proses tidur itu sebagai dalil keikhlasan dalam penyerahan diri kepada Allah. Tidurlah pengajaran ilmu penyerahan diri yang paling hampir bagi siapa sahaja yang sedang berhajat untuk mencari erti mengenal diri yang mutlak dan mengajarkan kita erti mati sebelum mati. Semasa kita terjaga, kita selalu mengarahkan kesedaran kita kepada permasalahan dunia yang tiada berkesudahan dan tidak ada habisnya. Kita asyik dengan benda benda dunia yang kita cintai, seperti wang yang banyak, menimbun kekayaan, mengejar impian yang tinggi, memenuhi hasrat yang menggunung dan sebagainya. Ramai yang mengutamakan kepada mengejar perkara perkara yang selain dari wajah Allah. Permasalahan inilah yang menghambat jiwa dan menahan diri kita untuk berserah diri kepada Allah.
Permasalahan seperti itu kadangkala mengganggu dan menyulitkan kita untuk tidur, adakalanya berkelanjutan sampai subuh karena terfikirkan perkara duniawi yang tidak berkesudahan. Inilah gambaran orang-orang yang tidak tahu berserah diri kepada Allah dan mereka-mereka yang tidak tahu cara mengembalikan segala permasalahan kepada Allah Taala. Selagi sebelum tidur, selagi kita tidak dapat melelapkan mata, selagi itulah kegelisahan, keresahan, kebingungan dan siksa yang panjang menghantui kita. Inilah contoh mereka mereka yang tidak tahu tempat letak, tempat simpan, dan tidak tahu tempat menyemadikan segala permasalahan rasa ke dalam wajah Allah.
Jika kita mengerti hikmah di sebalik proses tidur, kita akan mengerti akan erti berserah diri kepada Allah. Kita hendaklah menyerahkan diri kita kepada Allah seumpama kita serah diri ketika kita sedang tidur. Ketika kita sedang tidur, kita serahkan segala permasalahan kepada Allah.
Sewaktu tidur kita tidak lagi memikirkan apa-apa. Begitulah cara atau kaedahnya kita mengenal dan menyerah diri kepada Allah. Tidur itulah cara penyerahan diri yang paling redha kepada Allah. Untuk menyerah diri secara ikhlas dan redha kepada Allah, tirulah penyerahan diri sebagai mana kita sedang tidur. Tidur itulah guru kita, yang mengajarkan kita tentang ilmu penyerahan diri. Bagi yang dapat menerapkan konsep tidur sebagai salah satu kaedah mengenal diri, itulah guru dan itulah konsep sebenarnya dalam mengenal diri.
Ingatlah bahwasanya tidur itu saudaranya mati. Semasa kita tidur, ingatlah kita sedang menuju mati dan sedang menginginkan mati. Setelah dalam keadaan mati, kita tidak lagi merasakan lapar, dahaga, tidak lagi menginginkan kereta baru, rumah besar, atau isteri cantik. Dalam keadaan tidur kita tidak lagi merasa susah, tidak merasa terbeban oleh hutang, tidak merasa sakit dan tidak merasa adanya kehidupan. Itulah kaedah pengajaran mengenal diri melalui tidur. Bahawa diri kita ini tidak ada, yang ada di kala itu hanyalah nyawa. Hanya nyawa yang bergerak naik turun, sedangkan seluruh anggota jasad kita di saat itu sudah terlena, dan terbujur kaku.
Mengenal diri itu, setelah tidak lagi tahu adanya diri. Mengenal Allah itu, setelah tidak lagi tahu adanya makhluk. Ingatkan Allah itu, setelah tidak lagi tahu adanya ingatan kepada makhluk. Tahu Allah itu, setelah tidak lagi tahu makhluk. Adanya Allah itu, setelah tidak adanya makhluk. Masih ada (wujud) perkara selain Allah, itulah mereka mereka yang dalam berkedudukan syirik. Syirik itu, adalah dosa yang tidak diampuni oleh Allah. Oleh kerana itu, jauhilah syirik dengan membinasakan makhluk. Setelah makhluk binasa, itulah tanda Allah itu Esa. Setelah Esanya Allah itu, barulah terzahir dan ternyatanya Allah Taala di persada alam. Amiin²
Admin Sheikh Al-Islam

No comments:

Post a Comment