Saturday, 5 November 2016

SIFAT NAFSIAH;

SIFAT NAFSIAH; KUPASAN DARI SUDUT PANDANG MAKRIFAT
Apakah sifat yang terkandung dalam nafsiah?
Sifat yang terkandung di dalam nafsiah itu, hanya satu iaitu sifat WUJUD. Wujud yang membawa maksud ada. Adanya Allah itu, meliputi segala yang zahir mahu pun yang batin.
Apakah maksud sifat nafsiah (menolak)?
Sifat nafsiah itu, bermaksud menafikan ke-ujudan yang lain selain Allah. Hanya Allah sahaja yang ada dan hanya Allah sahaja yang wujud. Wujudnya Allah itu, adalah ujud yang disertai sekali dengan zat, sifat, afa'al, dan asma'Nya. Zat Allah itu merupakan sifatNya dan sifat Allah itu adalah juga merupakan zatNya. Zat dengan sifat Allah itu adalah ujud yang terpisah, berpisah, bercerai dan ujud yang tidak berasingan.
Ke-ujudan zat dengan ke-ujudan sifat Allah itu, adalah esa (satu juga pada hakikatnya). Seumpama sifat ilmu dengan sifat kalam Allah. Apabila sifatnya bersifat mendengar (sama'), bererti zatnya juga, bersifat berpendengaran (sami'un). Apabila Allah bersifat melihat (basyar), bererti zatNya bersifat berpenglihatan (basyirun). Apabila Allah bersifat kuasa (kudrat), bererti zatNya bersifat kekuasaan (kodirun). Begitulah seterusnya dengan sifat-sifatnya yang lain.
Sifat Allah itu seumpama sifat angin dengan sifat bergoyang (bertiup). Apabila kita melihat pokok bergoyang, itu menandakan adanya angin. Bergoyangnya pokok, adalah bagi menandakan bergoyangnya angin. Sifat bergoyang itu sebenarnya bukan sifat pokok, yang bergoyang itu sebenarnya adalah sifat angin. Walau bagaimana pun sifat angin dan sifat bergoyangnya pokok itu, adalah satu sifat yang sama. Jika tidak ada angin, masakan pokok bergoyang. Pokok tidak boleh bergoyang dengan sendiri, jika bukan kerana digoyang dan ditiup oleh angin. Begitulah juga sifat Allah dengan ZatNya, tidak boleh bercerai.
Begitulah juga kaedahnya kita mentafsir sifat 20. Apabila ianya dirujuk kepada diri. Barulah kita dapat melihat dan mengenal Allah melaluinya. Seandainya sifat 20 itu, tidak dirujuk kepada diri, selama itulah kita tidak akan dapat mengenal dan melihat Allah. Dalam memahami sifat nafsiah (nafi) iaitu sifat menafikan, menidakkan, atau sifat menolak. Kita dikehendaki menidakkan sifat-sifat yang lain selain Allah. Kita dikehendaki menidakkan kewujudan sifat alam dan sifat diri kita sendiri. Menidakkan sifat diri kita, supaya ianya menjadi tidak ada dan tidak wujud (binasa). Cara untuk menidakkan sifat diri kita dan untuk mewujudkan sifat Allah itu, adalah dengan cara, menyerah atau membinasakan diri kepada Allah.
Bila mana sifat telinga telah dipulangkan, ianya akan disambut dengan sifat pendengaran Allah. Bila mana sifat mata telah binasa, akan disambut dengan sifat penglihatan Allah. Sifat berfikir, akan disambut dengan ilmu Allah. Selagi sifat mata menjadi sebahagian daripada sifat kita, sudah pasti kita tidak akan dapat melihat Allah melalui pandangan dan penglihatanNya.
Setelah sifat mata kita itu dipulangkan kepada Allah, akan bertukar menjadi sifat basyar Allah, barulah sifat penglihatan basyirun Allah itu, boleh melalui sifat mata kita. Bermakna di sini bahawa, sifat mata yang ada pada kita sekarang ini, tidak boleh dan tidak layak menerima penglihatan Allah melaluinya, melainkan sifat mata makhluk telah binasa dan bertukar kepada sifat wajah Allah.
Maka kita tidak layak untuk menanggung atau menerima sifat penglihatan Allah yang maha tinggi. Sifat makhluk tidak layak untuk menanggung sifat Allah, melainkan sifat kita itu ditukar milik, supaya menjadi milik Allah, setelah melalui proses penyerahan diri (penyerahan tugas dan penyerahan hak milik) kepada Allah. Apabila sudah menjadi milik Allah, barulah mata kita itu, dapat melihat melalui penglihatan Allah. Apabila mata kita itu telah menjadi milik Allah, barulah sifat basyirun (penglihatan) Allah itu dapat terpancar melalui mata kita.
Apabila penglihatan Allah sudah menembusi mata kita, dengan sendirinya sifat mata akan binasa. Mata makhluk akan hangus terbakar, binasa dan lenyap lantaran dipenuhi oleh cahaya Allah. Cahaya penglihatan Allah itu sendiri, yang membinasakan sifat mata kita. Hanya Allah sahaja yang dapat menanggung sifat Allah. Sifat mata kita tidak dapat untuk menanggung sifat penglihatan Allah.
Selagi mata masih bersifat makhluk atau masih menjadi sebahagian dari anggota diri kita, selagi itulah wajah Allah tidak boleh mengambil tempat. Selagi sifat Allah tidak dapat mengambil tempat, selagi itulah, kita tidak akan dapat mengenal dan melihat Allah melaluinya. Inilah konsep nafsiah, iaitu konsep menidakkan sifat makhluk supaya dapat menjadikan semuanya bersifat wajah Allah. Setelah kita berjaya dalam menidakkan, fana' dan leburkan diri kita ke dalam cahaya Allah, maka jadilah telinga kita itu, merupakan pendengaran Allah, jadilah mata kita itu, penglihatan Allah dan sebagainya.
Mata kita tidak layak untuk menanggung penglihatan Allah. Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain, ianya merupakan pakaian dan persalinan Allah. Sifat kita selaku makhluk, tidak layak untuk memakai yang menjadi persalinan Allah. Seandainya kita terpakai persalinan Allah, cepat-cepatlah bertaubat.
Apabila Allah bersifat basyar, Allah juga bersifat basyirun. Apabila Allah bersifat qudrat, Allah juga bersifat Qodirun dan sebagainya. Oleh yang demikian bagi yang telah sampai kepada makam (tahap) makrifat, menjadikan yang dilihat itu, adalah juga yang melihat dan yang melihat itu, adalah juga yang dilihat, yang disembah itu, adalah yang menyembah dan yang menyembah itu, adalah juga yang disembah. Dengan syarat diri kita telah binasa, mati, lebur, dan karam dalam zouk cahaya wajah Allah. Walaupun Allah itu bersifat dengan 20 sifat, namun semua 20 sifat itu, adalah esa (satu) juga dalam zatNya. Walaupun sifat Allah itu banyak, tetapi ia satu dalam zatNya.
Yang menjadikan sifat Allah itu berbilang-bilang adalah kerana khayalan fikiran dan lemahnya sangkaan akal manusia. Sedangkan pada dasar dan pada hakikatnya, kesemua sifat Allah itu adalah satu (esa), tidak berbilang-bilang.
Mempelajari, memahami serta mengetahui sifat nafsiah bertujuan memberi peringatan kepada kita bahawa, tidak ada yang berbentuk, melainkan yang berbentuk itu adalah bentuk bagi Allah dan tidak ada yang bersifat, melainkan yang bersifat itu hanya sifat bagi Allah. Tidak ada yang berupa melainkan yang berupa itu adalah rupa bagi Allah.
Di dalam memahami sifat nafsiah, kita dikehendaki menafikan, mematikan, melenyapkan, menghilangkan dan membinasakan semua sifat-sifat yang lain selain dari sifat Allah.Di peringkat pengajian ilmu sifat nafsiah, kita dikehendaki melihat bahawa hanya Allah sahaja yang ada, ujud, wujud dan maujud. Ke-ujudan makhluk alam pada peringkat ini belum lagi boleh diletak dalam gambaran fikiran dan belum lagi boleh dibayangkan dalam ciptaan khayalan akal. Yang ada dan yang ujud pada peringkat sifat nafsiah itu, hanyalah Allah semata-mata.
Sifat nafsiah adalah sifat bagi mengajar kita tentang kewujudan Allah secara mutlak dan secara "wujudiah". Wujud yang meliputi, meliputi sekalian alam, meliputi sekalian makhluk dan meliputi sekalian diri kita. Sifat nafsiah dalam wujudiah itu adalah membawa makna ke-ujudan Allah secara mutlak, secara bersendirian, secara keesaanNya, tanpa adanya lagi yang lain selain Allah. Seumpama bukan pokok yang bergoyang tetapi yang bergoyang itu adalah angin. Walaupun kita nampak yang bergoyang itu pokok, di dalam kefahaman pengajian ilmu makrifat yang bergoyang itu bukan lagi pokok, sesungguhnya yang bergoyang itu adalah sifat angin. Inilah kedudukan sifat nafsiah dalam tafsiran makrifat.
Di dalam kita belajar sifat nafsiah dalam sifat 20 kita jangan lupa untuk menghubung kaitkan dengan kalimah syahadah. Pelajaran sifat nafsiah dalam sifat 20, bukan sekadar bertujuan untuk dihafal. Pelajaran sifat nafsiah itu selain bertujuan untuk mengenal sifat Allah melalui sifat 20, ianya juga adalah bertujuan bagi mentafsir kalimah syahdah. Sifat nafsiah itu, adalah satu kaedah kiasan sahaja. Tujuan sebenar kiasan sifat nafsiah itu, adalah disasarkan kepada tafsiran dan pemahaman kalimah syahadah.
Sifat nafsiah apabila dikaitkan, diletak atau diterjemahkan pada tafsiran syahadah, ia berada pada kedudukan kalimah "LAA" (iaitu kalimah nafi). Kalimah nafi adalah kalimah menolak yang lain selain Allah, membinasakan yang lain selain Allah. Kewujudan sifat-sifat yang lain itu, seumpama bayang cahaya. Apabila hilang cahaya maka hilanglah bayang.
Apabila kita dapat memahami dan menghayati pengertian isi ilmu nafsiah dalam sifat 20 dengan penuh penghayatan, ianya membuatkan ucapan syahadah kita, benar-benar diterima Allah.
Bagaimana cara ucapan syahadah yang penuh makna?
Adapun ucapan syahdah yang penuh makna itu, adalah dengan melafazkan ungkapan kalimah "Laa" dengan menghilangkan dan membinasakan sifat-sifat yang lain, selain Allah. Sehingga tidak ada lagi ke-ujudan bulan, bintang, alam, dunia dan ke-ujudan kehidupan diri, melainkan Allahlah yang ujud, wujud dan maujud, pada sekalian wajah alam.
Ucapan perkataan "Laa" adalah tahap ucapan yang tidak ada lagi sesiapa. Tidak ada apa-apa di kiri, di kanan, di atas, dan tidak apa-apa lagi di bawah kita, melainkan semasa melafazkan kalimah "Laa" kita dikehendaki mengisi keyakinan hati dan mengisi kepercayaan akal, bahawa tidak ada yang lain lagi pada ke-ujudan alam ini, melainkan sekalian yang ada ini, adalah wajah Allah yang meliputi segalanya. Itulah di antara tujuan kita mempelajari sifat nafsiah (sifat 20).
APAKAH BENTUK SIFAT NAFSIAH?
Sifat nafsiah adalah berbentuk "PERKHABARAN", sifat yang hanya ada pada zat Allah dan tidak memberi bekas kepada alam. Sifat nafsiah itu, tidak pula boleh dikualitikan dan tidak boleh dikuantitikan. Adanya Allah adalah ada yang mutlak, ada yang tidak dikeranakan oleh suatu kerana yang lain.
Sifat nafsiah adalah sifat yang mengkhabarkan kepada kita bahawa Allah itu ada, adanya Allah itu melalui perkhabaran yang tidak dapat dipegang atau dirasa dengan tangan, tidak dapat dizahirkan untuk dilihat. Perkhabaran adalah perkara yang tidak boleh disifatkan, tidak boleh dikualitikan atau dikuantitikan. Ia hanya boleh dirasa dan diyakini oleh hati tanpa usul. Amiin²
Admin Sheikh Al-Islam

No comments:

Post a Comment