Wednesday, 2 November 2016

CAHAYA ATAS CAHAYA

CAHAYA ATAS CAHAYA
Allah SWT berfirman:
ٱللهُ نُورُ السَّماواتِ وَ الْأَرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكاةٍ فيها مِصْباحٌ الْمِصْباحُ في‏ زُجاجَةٍ الزُّجاجَةُ كَأَنَّها كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لا شَرْقِيَّةٍ
وَلا غَرْبِيَّةٍ يَكادُ زَيْتُها يُضي‏ءُ وَلَوْلَمْ تَمْسَسْهُ نارٌ نُورٌ عَلى‏ نُورٍ يَهْدِي اللهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشاءُ وَ يَضْرِبُ اللهُ الْأَمْثالَ لِلنَّاسِ وَ اللهُ بِكُلِّ شَيْ‏ءٍ عَليمٌ
Maksudnya:
“Allah adalah cahaya seluruh langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah tempat pelita yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu berada dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang penuh berkah, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api (lantaran minyak itu sangat bening berkilau). Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis). Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (An Nur : 35)
"Allah adalah cahaya seluruh langit dan bumi" Allah SWT menguasai segala yg di langit dan di bumi dengan cahayaNya. Setiap sesuatu yang diciptakanNya bermula dari cahaya yang satu. Kemudiannya cahaya itu berpecah menjadi 2 dalam bentuk unsur hitam dan putih. Cahaya Hitam adalah unsur dunia manakala Cahaya Putih pula berunsur akhirat. Dari cahaya yang berunsur hitam ianya berpecah menjadi 4 keperluan asas untuk dunia iaitu tanah, air, api dan angin. Daripada 4 perkara asas itu maka terjadinya Alam dan Manusia. Dari cahaya yang berunsur putih pula ianya berpecah menjadi 4 jenis keperluan asas untuk akhirat iaitu Syariat, Tarekat, Hakikat dan Makrifat. Semua ilmu berasal dalam bentuk cahaya sebelum ilmu itu dizahirkan melalui manusia. Daripada 4 perkara ini terbentuknya Islam dan masa. Mungkin anda bertanya bagaimana daripada Syariat, Tarekat, Hakikat dan Makrifat boleh wujudnya Masa.
Allah SWT mempunyai kaedah dan tertib di dalam penciptaanNya. Allah SWT tidak mencipta manusia lebih dulu dan kemudiannya baru mencipta dunia. Dunia dijadikan lebih dulu sebelum Nabi Adam as engkar pada perintah Allah SWT. Manusia akan melakukan yang sebaliknya. Ini membuktikan Allah SWT itu Maha Mengetahui sedangkan manusia diciptakan tanpa berilmu. Islam lebih dulu diciptakan sebelum diciptakan alam dan manusia. Kerana adanya Islam lah masa diciptakan dan bukan sebaliknya. Islam perlu dimulakan di dalam keadaan bermasa dan berakhir di dalam keadaan yang tidak bermasa. Islam perlu dimulakan di dalam keadaan berdunia dan berakhir di dalam keadaan tidak berdunia. Pertamanya Islam diciptakan dalam bentuk Nur Ilahi, yang keduanya manusia dalam bentuk Nur Muhammad, yang ketiganya Masa dalam bentuk Nur Ain dan yang keempatnya dunia dalam bentuk Nur Alam. Apabila penciptaan itu dizahirkan daripada bentuk cahaya kepada bentuk nyata maka ia bermula dari yang keempat iaitu Dunia dan kemudiannya Masa, Manusia dan akhirnya Islam. Allah SWT menggunakan konsep di mana ianya berakhir, maka di situlah ianya bermula kembali. Apabila Islam diciptakan lebih dulu daripada yang lain maka ini membuktikan Allah SWT telah menyediakan ubat lebih dulu daripada penyakit. Allah SWT tidak akan mengizinkan sesuatu masalah itu terjadi sekiranya jalan penyelesaiannya tidak disediakan di dalam Al Quran. Kenapakah umat Islam tidak berjumpa dengan jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sekarang melalui Al Quran?
Di sini tidak dijelaskan tentang penciptaan Malaikat dan Jin kerana ia memerlukan ilmu Makrifat untuk memahami konsep penciptaan Nur dan Api.
"Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah tempat pelita yang di dalamnya ada pelita besar". Nur Ilahi diumpamakan seperti sebuah tempat yang di dalamnya ada pelita iaitu Al Quran. Al Quran adalah seumpama sebuah pelita besar yang memancarkan cahaya untuk menerangi hati manusia dengan Nur Ilahi.
"Pelita itu berada dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang penuh berkah, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat (nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api (lantaran minyak itu sangat bening berkilau)". Al Quran yang bercahaya itu pula berada di dalam Nur Muhammad dan Nur Muhammad pula berada di dalam diri Rasulullah saw. Nur Muhammad diumpamakan seperti kaca yang seakan-akan bintang yang bercahaya. Kaca yang bersih itu boleh membiaskan cahaya manakala bintang membawa maksud petunjuk arah yang tepat. Nur Muhammad berfungsi seumpama cermin yang akan membiaskan cahaya Allah SWT ke hati manusia untuk memberi petunjuk ke jalan yang benar. Nur Muhammad boleh diumpama seperti kilauan yang ada di dalam sebuah lampu suluh atau lampu kereta. Cahaya yang terpancar dari mentol itu akan dibiaskan oleh kilauan yang ada di dalam lampu tersebut supaya cahaya akan menyuluh ke hadapan untuk menerangi jalan. Begitulah juga caranya Nur Muhammad membiaskan Nur Allah ke hati manusia. Jika hati manusia itu berkilau dengan Nur Muhammad, maka dia pula akan membiaskan cahaya itu kepada manusia yang seterusnya.
"Yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang penuh berkah, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api (lantaran minyak itu sangat bening berkilau)". Perumpamaan minyak pada ayat ini membawa maksud kalimah. Dengan wujudnya kalimah di dalam diri manusia maka terpancarlah cahaya Nur Muhammad di dalam hatinya. Perumpamaan pokok zaitun yang tidak tumbuh di timur atau di barat bermaksud agama iaitu Islam. Hanya melalui Islam saja manusia boleh menghidupkan kalimah di dalam hatinya. Islam mesti berkembang ke seluruh dunia tanpa ada persempadanan timur atau barat.
Cahaya di atas Cahaya bermaksud Para Nabi adalah cahaya yang membawa cahaya. Rasulullah saw adalah penghulu para Nabi dan Nur Muhammad bersumber daripada Rasulullah saw. Nabi Muhammad yang pertama dijadikan dan yang terakhir diutuskan. Nur Muhammad wujud di dalam diri para Nabi sebagai pembawa Nur Allah kepada manusia.
Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki. Para Nabi hanya sebagai pembawa petunjuk sahaja tetapi akhirnya Allah SWT jualah yang akan menentukan kesudahannya. Kalau orang itu diterima maka Allah SWT yang akan membawa manusia itu kepada cahayaNya.
Kesimpulannya:
1. Ada 4 lapisan cahaya yang terkumpul di dalam satu pusat cahaya.
2. Cahaya itu terbahagi pula kepada 2 pasangan iaitu Nur Ilahi dan Nur Muhammad.
3. Nur Ilahi adalah cahaya di langit dan Nur Muhammad pula adalah cahaya di bumi.
4. Cahaya Al Quran dan Nur Muhammad bersatu di dalam diri Rasulullah saw untuk membentuk perhubungan di antara Allah SWT dan RasulNya.
5. Nur Muhammad berfungsi sebagai pembias cahaya daripada Al Quran kepada manusia melalui saluran utamanya iaitu Rasulullah saw.
6. Hati yg dihidupkan dengan kalimah akan menghidupkan pula Nur Muhammad di dalam hatinya.
7. Hati yang hidup dengan Nur Muhammad pula akan tertangkap kepada cahaya Al Quran yang dibiaskan dari Rasulullah saw.
Pecahan Cahaya:
1. Nur Ilahi berpecah menjadi 99 asma
(asma ul husna)
2. Nur Al Quran berpecah menjadi 7
(Al Fatihah)
3. Nur Muhammad berpecah menjadi 5
(Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Muhammad)
4. Nur Islam berpecah menjadi 3
(Khalifah, Imam, Ulama)
5. Nur Syahadah hanya menjadi 1 (Kalimah)
Rasulullah bersabda:
"Aku telah diutuskan dalam keadaan yang terbaik pada semua keturunan anak Adam, sejak kejadian mereka" (Sahih Bukhari, Jilid 4, Buku 56, No. 757)
Nur Muhammad yang hidup di hati adalah tempat untuk Nur Ilahi bertapak. Nur Muhammad berfungsi seperti sebuah cermin yang akan menangkap Nur Ilahi dari Al Quran dan membiaskan pula Nur Ilahi itu ke hati manusia utk mendapat petunjuk. Apabila kalimah hidup dalam hati manusia maka bersinarlah Nur Muhammad yang ada di dalam hatinya. Dengan bersinarnya Nur Muhammad maka tertangkaplah Nur ilahi ke dalam hatinya seperti lensa kamera video yang menangkap cahaya. Nur Muhammad kemudiannya membiaskan Nur Ilahi ke hati manusia yang seterusnya. Dengan cara ini maka Nur Ilahi akan terpancar dari satu manusia ke satu manusia yang lain dan begitulah seterusnya cahaya itu berjalan. Nur Muhammad bersumber daripada Rasulullah saw dan Nur Muhammad itu diwariskan pula kepada ahlul bait Baginda setelah kewafatan Baginda saw. Sebab itu Baginda saw berpesan supaya manusia mesti berpegang dua perkara iaitu Kitabullah Azza Wa Jal dan Ahlul Bait Baginda. Tanpa kedua-duanya maka manusia akan sesat kerana tidak akan mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Maka perhatikanlah bagaimana kita memperlakukan kepada keduanya setelah kewafatan Rasulullah saw. Inilah perkara yg patut ulama perhatikan.
"Sesungguhnya aku meninggalkan bagi kamu dua buah benda peninggalan yang berat kadarnya, pada lain riwayat, sesungguhnya aku meninggalkan bagi kamu dua peninggalan yang jika kamu berpegang padanya tidak akan kamu sesat sepeninggalanku. Salah satunya lebih besar dari yang kedua, iaitu kitab Allah azza wajalla seumpama tali penghubung yang kukuh terentang dari langit sampai ke bumi dan keluargaku ahlil baitku, keduanya tidak akan terpisah satu dengan yang lain hingga bertemu denganku di akhirat di telaga Haudh/kautsar maka perhatikanlah kamu bagaimana kamu sepeninggalku memperlakukan keduanya". (Diriwayatkan oleh Muslim dan Tirmidzi).
Umat Islam sepatutnya dibimbing oleh Ulama-Ulama yg berbai'at dengan wakil Rasulullah saw. Dengan cara ini barulah ulama tersebut diberi petunjuk melalui Al Quran bagaimana untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat Islam sekarang. Keadaan umat Islam sekarang seperti layang-layang terputus tali. Perhubungan ulama dengan Rasulullah saw tidak wujud lagi. Maka Ulama hanya boleh bergantung kepada ilmunya sahaja. Masalah pasti tidak selesai. Perhubungan ulama sekarang dengan Rasulullah saw terputus angkara perbuatan Yahudi yang sememangnya memahami bagaimana untuk melemahkan Islam. Mereka sudah menjalankan kerja jahat ini beratus-ratus tahun dahulu semasa era penjajahan. Janganlah kita saling menuding jari. Umat Islam terdahulu pun jangan disalahkan malah kita harus berterima kasih kepada mereka kerana di atas usaha dakwah mereka juga kita hari ini beragama Islam. Binalah semula Islam dalam semangat berkasih sayang kerana Allah SWT. Insafi lah betapa kasihnya Rasulullah saw kepada kita. Mudah-mudahan melalui ayat dan hadis di atas Allah SWT memberi petunjuk kepada kita tentang apakah punca masalah umat Islam pada hari ini. Amiin²

No comments:

Post a Comment