Monday 7 August 2017

Martabat Tujuh

Martabat Tujuh
_______________
1. ALAM AHDAH
Dalam memperkatakan Alam Ghaibul-Ghuyub iaitu pada martabat Ahdah di mana belum ada sifat, belum ada asma', belum ada afa'al, dan belum ada apa-apa lagi, iaitu pada Martabat LA TAKYIN, Zat Ul Haq telah menegaskan untuk memperkenalkan DiriNya dan untuk diberi tanggungjawab ini kepada manusia dan di tajallikanNya akan DiriNya dari satu peringkat ke peringkat sampai zahirnya manusia berbadan rohani dan jasmani.
Adapun Martabat Ahdah ini terkandung ia di dalam Al-Ikhlas pada ayat pertama iaitu "Qul huwallahu Ahad", iaitu Sa pada Zat semata-mata dan inilah dinamakan Martabat Zat. Pada martabat ini diri Empunya Diri (Zat Ul haq) Tuhan Rabbul Jalal adalah dengan dia semata-mata iaitu dinamakan juga Diri Sendiri. Tidak ada permulaan dan tiada akhirnya iaitu Wujud Hakiki Lagi Qadim.
Pada masa ini tiada sifat, tiada Asma, dan tiada Afa'al, dan tiada apa-apa pun, kecuali Zat Mutlak semata-mata maka berdirilah Zat itu dengan Dia semata-mata di dalam keadaan ini dinamakan AINUL KAFFUR dan diri zat dinamakan Ahdah jua atau dinamakan KUNHI ZAT.
2. ALAM WAHDAH
Alam Wahdah merupakan peringkat kedua dalam proses pentajallianNya. Diri Empunya Diri telah mentajallikan diri ke suatu martabat sifat iaitu "La Tak Yin Sani" - sabit nyata yang pertama atau disebut juga martabat noktah mutlak iaitu ada permulaannya.
Martabat ini di namakan martabat noktah mutlak atau dipanggil juga Sifat Muhammadiah. Juga pada menyatakan martabat ini dinamakan Martabat Wahdah yang terkandung ia pada ayat "Allahus Shomad", iaitu tempatnya Zat Allah tiada terselindung sedikit pun meliputi 7 petala langit dan 7 petala bumi.
Pada peringkat ini Zat Allah Taala mulai bersifat. SifatNya itu adalah sifat batin jauh dari Nyata dan boleh diumpamakan sepohon pokok besar yang subur yang masih di dalam biji, tetapi ia telah wujud, tidak nyata, tetapi nyata sebab itulah ia di namakan Sabit Nyata Pertama martabat La Takyin Awal iaitu keadaan nyata tetapi tidak nyata (wujud pada Allah) tetapi tidak zahir.
Maka pada peringkat ini Yuan Empunya Diri tidak lagi Berasma' dan di peringkat ini terkumpul Zat Mutlak dan Sifat Batin. Maka di saat ini tidaklah berbau, belum ada rasa, belum nyata di dalam nyata, iaitu di dalam keadaan apa yang di kenali sebagai ROH IDHAFI. Pada peringkat ni sebenarnya pada Hakiki Sifat (Kesempurnaan Sifat). Zat Al Haq yang di tajallikanNya itu telah sempurna cukup lengkap segala-gala. Ianya terhimpun dan tersembunyi di samping telah zahir pada hakikinya.
3. ALAM WAHDIAH
Pada peringkat ketiga setelah ditajalli akan dirinya pada peringkat "La Takyin Awal", maka Empunya Diri kepada Diri rahsia manusia ini, mentajallikan pula diriNya ke satu martabat As'ma iaitu pada martabat segala Nama dan dinamakan martabat (Muhammad Munfasal) iaitu keadaan terhimpun lagi bercerai-cerai atau dinamakan "Hakikat Insan." Martabat ini terkandung ia di dalam "Lam yalidd", iaitu Sifat Qadim lagi Baqa, tatkala menilik wujud Allah.
Pada martabat ini keadaan tubuh diri rahsia pada masa ini telah terhimpun pada hakikinya Zat, Sifat Batin, dan Asma' Batin. Apa yang dikatakan berhimpun lagi bercerai-cerai kerana pada peringkat ini sudah dapat ditentukan bangsa masing - masing tetapi pada masa ini ianya belum zahir lagi di dalam Ilmu Allah, Iaitu dalam keadaan "Ainul Sabithah". Ertinya sesuatu keadaan yang tetap dalam rahsia Allah, belum terzahir, malah untuk mencium baunya pun belum dapat lagi. Dinamakan juga martabat ini wujud Ardhofi dan martabat wujud Am kerana wujud di dalam sekalian bangsa dan wujudnya bersandarkan Zat Allah Dan Ilmu Allah.
Pada peringkat ini juga telah terbentuk diri rahsia Allah dalam hakiki dalam batin iaitu bolehlah dikatakan juga roh di dalam roh iaitu pada menyatakan Nyata tetapi Tetap Tidak Nyata.
4. ALAM ROH
Pada peringkat ke empat di dalam Empunya Diri, Dia menyatakan, mengolahkan diriNya untuk membentuk satu batang tubuh halus yang dinamakan roh. Jadi pada peringkat ini dinamakan Martabat Roh pada Alam Roh.Tubuh ini merupakan tubuh batin hakiki manusia di mana batin ini sudah nyata Zatnya, Sifatnya, dan Afa'alnya. Ianya menjadi sempurna, cukup lengkap seluruh anggota-anggota batinnya, tiada cacat, tiada cela, dan keadaan ini dinamakan Alam Khorijah, iaitu Nyata lagi zahir pada hakiki daripada Ilmu Allah. Tubuh ini dinamakan ia "Jisim Latif" iaitu satu batang tubuh yang liut lagi halus. Ianya tidak akan mengalami cacat cela dan tidak mengalami suka, duka, sakit, menangis, asyik dan hancur binasa, dan inilah yang dinamakan "Kholid Tullah."
Pada martabat ini terkandung ia di dalam "Walam Yuladd". Dan berdirilah ia dengan diri tajalli Allah dan hiduplah ia buat selama-lamanya. Inilah yang dinamakan keadaan Tubuh Hakikat Insan yang mempunyai awal tiada kesudahannya, dialah yang sebenarnya dinamakan Diri Nyata Hakiki Rahsia Allah dalam Diri Manusia.
5. ALAM MITHAL
Alam Mithal adalah peringkat ke lima dalam proses pentajallian Empunya Diri dalam menyatakan rahsia diriNya untuk ditanggung oleh manusia. Untuk menyatakan diriNya Allah S.W.T., terus menyatakan diriNya melalui diri rahsiaNya dengan lebih nyata dengan membawa diri rahsiaNya untuk dikandung pula oleh bapa iaitu dinamakan Alam Mithal.
Untuk menjelaskan lagi Alam Mithal ini adalah di mana unsur rohani iaitu diri rahsia Allah belum bercantum dengan badan kebendaan. Alam mithal jenis ini berada di Alam Malakut. Ia merupakan peralihan daripada alam Arwah (alam Roh) menuju ke alam Nasut, maka itu dinamakan ia Alam Mithal di mana proses pernyataan ini, pengujudan Allah pada martabat ini belum zahir, tetapi Nyata dalam tidak Nyata.
Diri rahsia Allah pada martabat Wujud Allah ini mulai ditajallikan kepada ubun-ubun bapa, iaitu perpindahan dari alam roh ke alam Bapa (mithal).
Alam Mithal ini terkandung ia di dalam "Walam yakullahu", dalam surah Al-Ikhlas iaitu dalam keadaan tidak boleh dibagaikan. Dan seterusnya menjadi "DI", "Wadi", "Mani" yang kemudiannya disalurkan ke satu tempat yang bersekutu di antara diri rahsia batin (roh) dengan diri kasar Hakiki di dalam tempat yang dinamakan rahim ibu. Maka terbentuklah apa yang dikatakan "Manikam" ketika berlakunya bersetubuhan di antara laki-laki dengan perempuan (Ibu dan Bapa).
Perlu diingat, tubuh rahsia pada masa ini tetap hidup sebagaimana awalnya tetapi di dalam keadaan rupa yang elok dan tidak binasa dan belum lagi zahir. Dan ia tetap hidup tidak mengenal ia akan mati.
6. ALAM IJSAN
Pada peringkat ke enam, selepas sahaja rahsia diri Allah pada Alam Mithal yang dikandung oleh bapa, maka berpindah pula diri rahsia ini melalui "Mani" Bapa ke dalam Rahim Ibu dan inilah dinamakan Alam Ijsan. Pada martabat ini dinamakan ia pada martabat "Insan Kamil" iaitu batang diri rahsia Allah telah pun diKamilkan dengan kata diri manusia, dan akhirnya ia menjadi "Kamilul Kamil", iaitu menjadi satu pada zahirnya kedua-dua badan rohani dan jasmani, dan kemudian lahirlah seoarang insan melalui faraj ibu dan sesungguhnya martabat kanak-kanak yang baru dilahirkan itu adalah yang paling suci yang dinamakan "Insan Kamil". Pada martabat ini terkandung ia di dalam "Kuffuan" iaitu bersekutu dalam keadaan "Kamilul Kamil, dan nyawa pun dimasukkan dalam tubuh manusia.
Selepas cukup tempohnya dan ketikanya, maka diri rahsia Allah yang menjadi "Kamilul Kamil" itu dilahirkan dari perut ibunya, maka di saat ini sampailah ia kepada Martabat Alam Insan.
7. ALAM INSAN
Pada alam ke tujuh iaitu alam Insan ini terkandung ia di dalam "Ahad" iaitu sa (satu). Di dalam keadaan ini, maka berkumpullah seluruh proses pengujudan dan pernyataan diri rahsia Allah S.W.T. di dalam tubuh badan Insan yang mulai bernafas dan di lahirkan ke Alam Maya yang Fana ini. Maka pada alam Insan ini dapatlah dikatakan satu alam yang mengumpul seluruh proses pentajallian diri rahsia Allah dan pengumpulan seluruh alam yang ditempuhi dari satu peringkat ke satu peringkat dan dari satu martabat ke satu martabat.
Oleh kerana ia merupakan satu perkumpulan seluruh alam lain, maka mulai alam maya yang fana ini, bermulalah tugas manusia untuk mengembalikan diri rahsia Allah itu kepada Tuan Empunya Diri, dan proses penyerahan kembali rahsia Allah ini hendaklah bermula dari alam Maya ini. Lantaran itu persiapan untuk balik kembali asalnya mula kembali hendaklah disegerakan tanpa berlengah-lengah lagi.

No comments:

Post a Comment